Anwar belum terima peletakan jawatan Loke, mahu runding semula

HANG TUAH JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau belum menerima peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sebaliknya mahu berunding terlebih dahulu dengan Setiausaha Agung DAP itu.
Secara berseloroh, Anwar berkata beliau boleh membenarkan Loke bercuti seketika. "Saya belum terima peletakan jawatan Anthony Loke. Hendak cuti kejap okey, tetapi hendak letak jawatan kena runding semula," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Grand Finale: Jelajah Harapan, Melaka Rumah Kita di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya pada Khamis.
Loke pada Selasa memaklumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Anwar berkata, tiada sebab bagi menteri yang bersih dan amanah untuk meletakkan jawatan. "Kita lantik menteri, menteri itu amanah, bersih. Menteri itu kerja kuat. Menteri itu beri banyak cadangan, projek, program untuk memudahkan perjalanan rakyat dan juga pemandu-pemandu teksi," katanya.
Menurut beliau, Loke antara menteri paling kuat bekerja dan diterima baik oleh pegawai kementerian. "Jadi, sebab itu saya kata orang macam ini yang baik, dia orang suruh berhenti. Yang teruk, dia suruh kekal. Apakah dunia ini sudah terbalik?" katanya.
Foto: C.W. Tan / Wikimedia Commons (CC BY-SA 4.0)




