Anwar gesa lebih ramai wanita dalam sektor keselamatan dan pertahanan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa lebih ramai wanita diberi ruang dalam sektor keselamatan dan pertahanan negara.
Beliau berkata, walaupun sesetengah peranan ketenteraan memerlukan tahap fizikal yang tinggi, perkara itu tidak seharusnya menjadi halangan kepada penglibatan wanita dalam sektor berkenaan.
"Wanita mesti diberi peluang untuk menyumbang dalam sektor keselamatan dan pertahanan berdasarkan kemampuan dan kepakaran mereka," katanya di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah hari ini.
Anwar menjawab soalan seorang peserta wanita Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang menyatakan hasratnya menyertai tentera.
Menurut beliau, pencapaian wanita dalam sektor pendidikan membuktikan keupayaan mereka memainkan peranan lebih besar dalam bidang lain. Wanita membentuk lebih 50 peratus pelajar universiti dan mengatasi lelaki dalam sesetengah peperiksaan serta ujian.




