Anwar tiada penyesalan sokong Xi, tegaskan komitmen perkukuh hubungan Malaysia-China

SHENZHEN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak menyesal memberi sokongan penuh kepada Presiden China, Xi Jinping, walaupun menghadapi pelbagai tekanan, sambil menegaskan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan negara itu.
Menurut Anwar, sokongan tersebut berpaksikan keyakinannya terhadap kepimpinan Xi, khususnya keupayaan Presiden China itu menyatukan kuasa-kuasa besar dunia dan memupuk keamanan di tengah ketidaktentuan geopolitik.
"Itulah sebabnya saya langsung tidak menyesal dengan keputusan memberi sokongan penuh kepada tuan sebagai pemimpin hebat dunia dan menjalin hubungan dua hala yang kukuh, walau apa jua tekanan yang kita hadapi," katanya dalam ucapan alu-aluan pada pertemuan dua hala bersama Xi di Qilin Villa State Guest House, di sini, hari ini.
Anwar turut memuji Xi kerana berjaya menemukan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan Presiden Russia, Vladimir Putin, dan menyifatkannya sebagai pencapaian yang jarang dapat dilakukan pemimpin dunia.
"Hanya Presiden Xi yang boleh melakukannya. Saya tidak tahu siapa lagi yang mampu. Tahniah, kerana ia sangat bermakna. Negara membangun seperti kami akan memandang kepada pemimpin yang mempunyai kebijaksanaan dan keberanian untuk menyatukan ketiga-tiga pihak ini," katanya.
Perdana Menteri turut memuji kejayaan China menganjurkan Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan berkata delegasi Malaysia kagum dengan skala infrastruktur serta keseluruhan penganjuran acara itu, termasuk layanan mesra terhadap para delegasi.
"Pertama, kita melihat infrastruktur yang besar dan mengagumkan. Tetapi kali ini, Tuan Presiden, di bawah kepimpinan tuan, seluruh susunan dari peringkat tertinggi hingga ke pelayan hotel," katanya.
Anwar berkata delegasi Malaysia kagum dengan pengaturan tersebut dan berharap dapat mencontohi sebahagian pendekatan China di Malaysia.
Beliau menambah, lawatannya ke Shanghai dan Hangzhou pada September, yang turut merangkumi perbincangan dengan Perdana Menteri China, Li Qiang, telah mengukuhkan lagi hubungan dua hala. Kedua-dua negara kemudiannya bersetuju memperluas kerjasama dalam beberapa bidang.




