Anwar tiba di Manila Sabtu untuk Sidang Kemuncak Asean ke-49, pulang sebentar sambut Macron

MANILA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual tiba di Manila pada Sabtu (14 November) untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Asean ke-49 dan sidang kemuncak berkaitan pada 15 hingga 17 November.
Duta Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony, berkata penyertaan Anwar pada peringkat tertinggi mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memainkan peranan aktif dalam menentukan hala tuju Asean merangkumi aspek politik dan keselamatan, ekonomi serta sosiobudaya.
"Sidang kemuncak ini merupakan platform strategik untuk berinteraksi secara langsung dengan para pemimpin negara anggota Asean dan rakan dialog, selain memperkukuh hubungan dua hala yang penting," katanya pada sidang media bersama media Malaysia di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, Anwar akan ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Pada Ahad (15 November), Anwar dijadual menghadiri sesi plenari dan retret Sidang Kemuncak Asean ke-49, serta sesi libat urus pemimpin Asean bersama Perhimpunan Antara Parlimen Asean (AIPA), Majlis Penasihat Perniagaan Asean (Asean-BAC) dan belia Asean.
Pada Isnin (16 November), Perdana Menteri akan menghadiri sidang kemuncak Asean bersama China, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Australia dan Korea Selatan sebelum pulang ke Malaysia pada petang itu.
Abdul Malik berkata, kepulangan itu bagi membolehkan Anwar menerima kunjungan rasmi Presiden Perancis, Emmanuel Macron, pada pagi 17 November. Anwar dijadual kembali ke Manila pada petang 17 November untuk menghadiri Sidang Kemuncak Khas Asean-Amerika Syarikat dan majlis makan malam yang dianjurkan Presiden Filipina.
Dalam ketiadaan Perdana Menteri pada 17 November, Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke beberapa mesyuarat dan sidang kemuncak, termasuk Sidang Kemuncak Asean Campur Tiga ke-29, Mesyuarat Pemimpin Komuniti Sifar Pelepasan Asia ke-4, sidang kemuncak Asean bersama Jepun dan India, serta Sidang Kemuncak Asia Timur ke-21.
Menurut Abdul Malik, Anwar turut dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari negara anggota Asean di sebalik sidang kemuncak itu.
Sidang kemuncak itu didahului empat mesyuarat peringkat menteri pada 14 November, iaitu Perundingan Tidak Rasmi Lanjutan mengenai Pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan Asean ke-32 dan Mesyuarat Majlis Penyelaras Asean ke-39.
Foto: Chatham House, London / Wikimedia Commons (CC BY 2.0)




