Ayam tak masak sempurna: Asyraf Wajdi arah siasat kontraktor makanan MRSM Tun Ghafar Baba

SHAH ALAM: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan pengurusan institusi itu menyiasat segera aduan berhubung penyediaan makanan tidak memuaskan di Dewan Selera Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba.
Beliau berkata, aduan diterima daripada beberapa pelajar dan ibu bapa yang mendakwa terdapat ayam tidak dimasak dengan sempurna dalam hidangan yang disediakan pada petang Ahad.
Hasil semakan awal dengan pihak pengurusan sekolah mendapati kontrak penyedia makanan di MRSM berkenaan hanya berbaki sebulan sebelum tamat tempoh.
"Sudah semacam satu trend apabila satu-satu kontrak sudah hampir tamat tempoh, maka penyedia makanan semacam mengabaikan kualiti makanan yang disediakan. Saya amat kecewa dengan sikap kontraktor yang tidak bertanggungjawab seperti ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Asyraf Wajdi berkata, beliau sudah meminta pengetua menyiasat dan mengambil tindakan tegas malam itu juga.
Beliau menegaskan perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana kebajikan pelajar perlu diutamakan. Pelajar Tingkatan Lima yang baru mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi yang paling dikasihaninya.
"Ini soal kebajikan pelajar yang saya tidak boleh tolak ansur," katanya, sambil memberi amaran bahawa kontraktor makanan yang melanggar piawaian keselamatan makanan boleh dikenakan penalti atau disenarai hitam.




