Bekas bintang TVB Amisha Ng umum bercerai, dakwa didera suami

HONG KONG: Pelakon Hong Kong, Amisha Ng, 35, mengumumkan beliau akan bercerai dengan suaminya yang bukan dalam bidang hiburan, Leo, selepas tiga tahun berkahwin, sambil mendakwa mengalami keganasan, kerosakan harta benda dan pengawasan di rumah.
Dalam beberapa hantaran Instagram Stories pada Khamis, Ng menulis keadaan tidak bertambah baik dari tahun ke tahun dan beliau memilih berdiam diri serta fokus mencari rezeki. "Keganasan berterusan, pemusnahan perabot dan barangan peribadi saya, pengawasan di rumah dan gangguan telah membuat saya keletihan fizikal dan mental untuk tempoh yang lama," tulisnya, seperti dipetik portal HK01.
Beliau mengakui suaminya bergelut dengan masalah pengangguran, tetapi menegaskan dirinya juga bekerja keras mencari rezeki. Ng turut menggesa suaminya berhenti menyalahkan orang lain atas segala kesulitan hidupnya.
Menurut Ng, keadaan kebelakangan ini semakin meruncing sehingga suaminya sengaja mengganggu kehidupan hariannya. Beliau mendakwa air paip diketatkan setiap kali dia menggosok gigi dan bekalan air panas dimatikan apabila dia menggunakannya.
Ng juga mendakwa suaminya berulang kali menukar kata laluan kunci pintu elektronik bagi menghalangnya masuk ke rumah untuk mengambil barang, dan menuntut dia mengalihkan semua barangan peribadi sekali gus dengan ancaman memusnahkannya jika dia bekerja. Beliau berkongsi video yang kelihatan dirakam di pintu depan rumah, memaparkan seorang lelaki di luar pintu sedang menekan kunci elektronik itu.
Ng berkata rakaman asal disimpan untuk digunakan dalam sebarang prosiding undang-undang pada masa depan. Beliau turut berkongsi gambar tong sampah yang rosak teruk dengan kapsyen: "Saya takut saya akan jadi seperti tong sampah ini."
Pelakon yang membintangi siri Come Home Love: Dinner At 8 (2016) itu berkahwin dengan Leo pada Ogos 2023. Hanya empat bulan selepas itu, khabar masalah rumah tangga mula tersebar apabila Ng menuduh suaminya menukar kata laluan pintu sehingga dia tidak dapat pulang ke rumah.




