Bilangan mangsa dipindahkan meningkat lebih lima kali ganda sejak monsun timur laut bermula

PETALING JAYA: Bilangan mangsa yang dipindahkan akibat banjir dan bencana lain meningkat lebih lima kali ganda sejak monsun timur laut bermula pada 27 Oktober, menurut data Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Dalam kemas kini laporan bencana harian, Nadma menyatakan jumlah mangsa dipindahkan naik daripada 225 orang pada 27 Oktober kepada 1,211 orang setakat jam 4 petang Selasa lalu.
Pada minggu pertama monsun, jumlah itu sempat menurun kepada 77 orang pada 3 November. Namun, ia melonjak kepada 940 orang pada 4 November dan terus meningkat dalam tiga hari berikutnya sehingga mencecah kemuncak 1,740 orang pada 7 November.
Jumlah kemuncak itu terdiri daripada 1,194 mangsa banjir di Selangor, 281 individu yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran di Tawau, Sabah, dan 265 mangsa banjir di Perak.
Satu kematian turut direkodkan pada 29 Oktober akibat banjir di Rembau, Negeri Sembilan.
Sementara itu, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan banjir akan berlaku di beberapa kawasan di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, Terengganu, sehingga Sabtu ini.
Kawasan rendah di Rompin dan Jerantut, Pahang, turut berisiko dilanda banjir dalam tempoh sama. Di Rompin, amaran meliputi kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer dari lembangan Sungai Rompin.
Menurut portal Public InfoBanjir JPS, paras air Sungai Cherul di Jambatan Ban Ho, Terengganu, melepasi paras bahaya pada jam 4 petang Selasa lalu. Lapan sungai lain di seluruh negara turut mencecah paras amaran pada waktu sama.
Di Kuala Lumpur, paras amaran dilepasi di Sungai Batu dan Sungai Tua, manakala tiga sungai di Selangor iaitu Sungai Buloh di Parit Mahang serta Sungai Selangor di Kampung Asahan dan Rantau Panjang, Kuala Selangor, mencecah paras amaran.
Di tempat lain, paras amaran direkodkan di Sungai Chemor di Kampung Cik Zainal dan Tanjung Tualang, Perak, serta Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran, dan Sungai Semantan di Jambatan Keretapi Mentakab, Temerloh, Pahang.
Foto: European Union, Copernicus Sentinel-2 imagery / Wikimedia Commons (Attribution)




