Bomba: 14 kawasan rekreasi di Hulu Selangor berisiko tinggi air naik mendadak

HULU SELANGOR: Sebanyak 14 kawasan rekreasi di Hulu Selangor dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi kejadian air naik mendadak, dengan Sungai Pertak, Sungai Siling dan Sungai Batang Kali muncul sebagai tiga lokasi utama.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata Sungai Batang Kali mencatatkan empat kejadian air naik mendadak tahun ini, diikuti Sungai Siling dengan tiga kejadian dan Sungai Pertak dua kejadian.
"Daripada sembilan kejadian yang direkodkan di tiga lokasi ini, hanya satu di Sungai Pertak yang melibatkan mangsa, manakala yang lain tiada kemalangan jiwa," katanya kepada Bernama di Pos Kawalan Hadapan JBPM di Jambatan Pertak hari ini.
Beliau menyatakan 11 lagi lokasi berisiko tinggi ialah Lata Medang di Kuala Kubu Bharu, Sungai Inki di Kalumpang, River View Sungai Bernam di Hulu Selangor, Sungai Sendat dan Sungai Tua di Ulu Yam, Sungai Kedondong di Batang Kali, Sungai Cilin di Kuala Kubu Bharu, Sungai Pinang di Batang Kali, Air Terjun Serendah di Serendah, serta Air Terjun Semangkuk dan Sungai Liam di Hulu Selangor.
Memandangkan musim monsun timur laut, Ashrul Riezal menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan buat sementara waktu aktiviti rekreasi berasaskan air bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Katanya, nasihat itu bertujuan meningkatkan kesedaran komuniti setempat dan pengunjung tentang bahaya air naik mendadak, terutama ketika cuaca sukar diramal.
Lapan orang, terdiri daripada seorang rakyat Malaysia dan tujuh warga asing, dihanyutkan arus deras dalam kejadian air naik mendadak di Sungai Pertak kira-kira 5.30 petang Isnin lalu.
Lima daripadanya ditemui lemas, termasuk rakyat Malaysia, V. Vijayan, 36, warga Nepal, Kapali, 49, dan warga India, B. Kunjanmalayil, 35. Identiti dua lagi mangsa, seorang warga India dan seorang warga Sri Lanka, masih dalam proses pengesahan.
Operasi mencari dan menyelamat diteruskan bagi tiga mangsa yang masih hilang, iaitu dua warga India dan seorang warga Yaman.
Foto: Асылхан Абдрахманов / Wikimedia Commons (CC BY-SA 4.0)




