DOE siasat beza ketara bacaan IPU Batu Muda dan Cheras, guna dron pantau pembakaran terbuka

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menggunakan dron dan memasang peralatan pemantauan tambahan bagi menyiasat perbezaan ketara bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara stesen pemantauan kualiti udara Batu Muda dan Cheras.
Dalam kenyataan pada Ahad, JAS memaklumkan bacaan IPU di Stesen Batu Muda kekal pada paras tidak sihat, iaitu melebihi 150, sejak dua hari lalu. Sebaliknya, stesen berdekatan di Cheras hanya merekodkan bacaan sekitar 60.
Menurut JAS, peralatan tambahan telah dipasang berhampiran Stesen Batu Muda bagi mendapatkan data sokongan untuk analisis teknikal. Penemuan awal akan diumumkan selepas pemantauan selama 24 jam dan semakan teknikal selesai.
“Pada masa sama, pemantauan udara menggunakan dron turut dilakukan bagi membantu mengenal pasti kemungkinan punca pelepasan bahan pencemar, termasuk aktiviti pembakaran terbuka di kawasan sekitar,” katanya.
Siasatan itu bermula pada Sabtu dan membabitkan pemeriksaan stesen pemantauan, rondaan di lapangan serta usaha mengesan punca pencemaran di sekitar kawasan terbabit.
Pemeriksaan awal mendapati stesen tersebut beroperasi dengan baik. Namun, JAS berkata semakan lanjut sedang dijalankan untuk mengesahkan bacaan yang direkodkan.
Rondaan pula mengesan dua kejadian pembakaran terbuka berskala kecil dan kedua-dua kebakaran itu telah dipadamkan pada hari yang sama.
JAS mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membenarkan tanah dan premis mereka digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan itu, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.
Mereka yang disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, selain kompaun sehingga 50 peratus daripada denda maksimum bagi setiap kesalahan.
Orang ramai digesa membantu memadam kebakaran kecil dan melaporkan kejadian pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727.
Bacaan IPU terkini setiap jam boleh disemak menerusi laman web eqms.doe.gov.my/APIMS/main atau aplikasi rasmi MyJAS EQMS yang boleh dimuat turun dari Google Play atau App Store.
Foto: This image was originally posted to Flickr by servus at 32919747. It was reviewe / Wikimedia Commons (CC BY-SA 2.0)




