Enam cedera dalam kemalangan tiga kenderaan di Kampung Gajah

IPOH: Enam orang, termasuk tiga kanak-kanak, cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Bendang Besar, Kampung Gajah, malam Selasa.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata mangsa terdiri daripada seorang lelaki berusia 50-an, dua wanita berumur antara 30-an hingga 50-an dan tiga kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun.
Menurutnya, kemalangan berlaku pada kira-kira 8.25 malam Selasa (10 November).
"Ketika tiba di lokasi, kami mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah treler yang membawa silinder gas, sebuah lori berikat dan sebuah kenderaan pelbagai guna," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa dari kenderaan masing-masing dan membantu petugas Kementerian Kesihatan merawat mereka di tempat kejadian.
Semua mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.




