Fadhlina tinjau PPS Sungai Kechil, 23 keluarga terjejas banjir

NIBONG TEBAL: Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, turun padang meninjau keadaan penduduk yang terjejas akibat banjir di beberapa kawasan sekitar Sungai Kechil malam Ahad.
Beliau bergegas ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Kechil sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu.
Fadhlina, yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, turut bertemu penduduk yang dipindahkan bagi melihat sendiri keadaan mereka serta mengenal pasti keperluan yang diperlukan.
Menurutnya, antara kawasan yang terjejas ialah Sungai Duri, Kampung Sethu, Kampung Besar, Kampung Sungai Buaya, Sungai Kechil dan Jawi.
“Setakat ini, seramai 23 keluarga dilaporkan terjejas akibat banjir. Pusat Khidmat Rakyat Nibong Tebal turut menyediakan makanan bagi memastikan semua keluarga yang berlindung di PPS dapat menjamah hidangan malam ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Beliau berkata, bantuan makanan turut dihantar ke beberapa rumah penduduk yang terjejas.
Fadhlina turut menghubungi semua agensi berkaitan untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan proses pemindahan mangsa berjalan lancar dan keperluan asas mencukupi.
Beliau menasihatkan penduduk di kawasan berisiko supaya sentiasa berwaspada serta mengutamakan keselamatan diri dan keluarga, selain tidak menunggu sehingga banjir bertambah buruk sebelum berpindah ke tempat lebih selamat.
“Saya akan terus memantau keadaan banjir ini dengan rapat,” katanya.
Setakat ini, hanya satu PPS iaitu di Sungai Kechil dibuka untuk menempatkan penduduk yang terjejas.




