Harga RON97 turun 20 sen, RON95 tanpa subsidi dan diesel turun 15 sen

SHAH ALAM: Harga petrol RON97 diturunkan sebanyak 20 sen seliter, manakala harga RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing turun 15 sen seliter bagi tempoh 19 hingga 25 November 2026.
Susulan penurunan itu, harga RON97 kini RM4 seliter, RON95 tanpa subsidi RM3.72 seliter dan diesel tanpa subsidi RM4.72 seliter.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan harga berkenaan ditetapkan berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
"Harga produk petroleum bertapis di pasaran serantau menunjukkan penurunan dalam tempoh pengiraan APM, seiring dengan penyederhanaan harga minyak mentah dunia."
Menurut kementerian itu, perkembangan tersebut mencerminkan tekanan harga yang semakin berkurangan dalam pasaran petroleum antarabangsa.
"Ketidaktentuan geopolitik dan risiko gangguan penghantaran petroleum masih boleh menjejaskan bekalan global. Sehubungan itu, harga petroleum dunia dijangka terus mengalami turun naik dalam tempoh terdekat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, MOF berkata harga petrol dan diesel bersubsidi dikekalkan, iaitu RON95 di bawah BUDI95 pada RM1.99 seliter, diesel BUDI Diesel RM2.10 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter.
Rakyat Malaysia yang layak boleh terus membeli petrol RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.
Foto: jtx1000 dotnet / Wikimedia Commons (CC BY 3.0)




