Hospital Kapar dijangka beroperasi Jun 2027, kurangkan kesesakan di HTAR

KLANG: Hospital Kapar dijangka mula beroperasi secara berperingkat seawal Jun 2027 bagi membantu mengurangkan kesesakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.
Dzulkefly berkata, kementerian sedang memantau kemajuan pembinaan hospital itu sebagai sebahagian usaha jangka panjang menangani kesesakan di HTAR.
“Setakat 20 Oktober, pembinaan Hospital Kapar telah siap 96.26 peratus. Projek ini berjalan mengikut jadual tanpa sebarang kelewatan dan dijangka mula beroperasi secara berperingkat seawal Jun 2027,” katanya kepada pemberita selepas melawat HTAR hari ini.
Hospital pakar utama baharu itu mempunyai kapasiti 312 katil dan menawarkan perkhidmatan merentasi 17 kepakaran perubatan, termasuk kemudahan khusus untuk penyakit berjangkit.
Dzulkefly berkata, penduduk Kapar sahaja dianggarkan 320,000 orang, manakala Klang mempunyai kira-kira 1.2 juta penduduk.
Projek bernilai RM831 juta itu dilaporkan mencatat kemajuan pembinaan yang memuaskan dan hampir mencapai sasaran jadual. Hospital berkenaan akan dilengkapi kemudahan khusus, termasuk wad pengasingan, dewan bedah untuk kes penyakit berjangkit serta bilik autopsi dengan pengawalan Tahap Keselamatan Biologi 3.
Foto: CEphoto, Uwe Aranas / Wikimedia Commons (CC BY-SA 3.0)




