Hubungan baik dengan AS dan China dikekalkan demi kepentingan ekonomi – Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia perlu mengekalkan hubungan ekonomi yang baik dengan Amerika Syarikat (AS) dan China bagi melindungi peluang pekerjaan rakyat negara ini.
Beliau mengakui Malaysia tidak bersetuju dengan beberapa dasar AS, khususnya berhubung penindasan terhadap rakyat Palestin di Gaza. Namun, katanya, AS ialah antara pelabur dan rakan dagang terbesar negara.
"Adakah kita bersetuju dengan dasarnya? Kita tidak bersetuju dalam banyak perkara. Tetapi AS ialah salah satu pelabur dan rakan dagang terbesar Malaysia," katanya.
"Kita juga mempunyai hubungan yang baik dengan China dan perdagangan kita juga baik," katanya ketika berucap di Perkhemahan Rejimen 515 Askar Wataniah hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menjawab soalan tentang cara golongan muda harus bersedia membantu negara sekiranya berlaku konflik bersenjata.
Beliau turut menyebut pengumuman pelaburan RM61 bilion oleh Alphabet sebagai contoh kepentingan mengekalkan hubungan baik dengan syarikat AS.
"Baru-baru ini, Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat, mengumumkan pelaburan RM61 bilion. Tetapi kita tidak memberi apa-apa secara percuma. Kita mengenakan syarat, termasuk latihan dan bekalan air yang mencukupi," katanya.
Dalam pertemuan dengan Anwar dan beberapa menteri lain, Porat berkata Google merancang melabur AS$15 bilion (RM61.1 bilion) di Malaysia dari 2027 hingga 2028 untuk membangunkan infrastruktur digital, memperluas kampus pusat data serta menyokong inisiatif tenaga bersih dan bekalan air.




