Ibu bapa perlu hadir ke sekolah untuk terima BAP RM200 tahun depan – Anwar

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu ibu bapa hadir ke sekolah anak masing-masing semasa penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM200 tahun depan, supaya mereka mengetahui perkembangan pendidikan anak serta berpeluang bertemu guru untuk mendapatkan nasihat tentang pembelajaran dan disiplin.
Berucap pada majlis pelancaran Prakarsa AI Pendidikan Negara: AI Temu AI di sini pada Rabu, beliau berkata bantuan itu tidak akan diserahkan terus ke rumah kerana kerajaan mahu ibu bapa turut mengambil tahu keadaan anak-anak di sekolah.
“Sebab itu saya beritahu Kementerian Pendidikan (KPM), untuk tahun depan semua anak akan dapat RM200 tetapi berdasarkan pengalaman, kita minta ibu bapa datang ke sekolah. Kita tak serah wang itu ke rumah.
“Kerana kita mahu ibu bapa itu tahu sekolah anaknya, jumpa guru-guru dan guru boleh beri nasihat,” katanya.
Anwar turut meminta KPM mengatur pertemuan antara guru, murid dan ibu bapa supaya pihak sekolah dapat berkongsi maklumat mengenai tingkah laku serta perkembangan anak-anak.
“Kalau tak datang ke sekolah, Fadhlina (Menteri Pendidikan), jangan bagi wang itu,” tegasnya.
Menurut Anwar, tanggungjawab mendidik anak tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam membentuk disiplin dan akhlak anak.
“Mana mungkin keluarga diserah 100 peratus mendidik anak ke sekolah? Salah. Ibu bapa mempunyai juga tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata isu disiplin dan buli tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu sekolah, sebaliknya memerlukan kerjasama ibu bapa.
Dalam ucapan sama, Anwar berkata penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan perlu disertai pembentukan nilai dan akhlak, serta tidak menggantikan asas pembelajaran seperti membaca dan mengira.
“AI bukan menguasai kita. Kita yang harus menguasai AI,” katanya.




