Jangan mansuh jawatan ADUN dilantik, cukup dikurangkan – pakar kepada PH

MELAKA: Pakar akademik menggesa Pakatan Harapan (PH) supaya tidak memansuhkan terus jawatan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, sebaliknya mengkaji dan memperbaiki peruntukan berkenaan.
Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata PH tidak seharusnya menolak manfaat jawatan itu kerana ia memberi "suara" kepada golongan seperti teknokrat, wanita dan minoriti dalam dewan undangan negeri.
"Kita tidak sepatutnya membuang bayi bersama air mandian. Peruntukan itu perlu dikaji dan diperbaiki," katanya.
Pada Khamis, PH berkata ia akan memansuhkan peruntukan yang membenarkan pelantikan sehingga tujuh ADUN dilantik di Melaka jika memenangi pilihan raya negeri pada Sabtu. Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, berkata penjimatan hasil langkah itu akan disalurkan kepada bantuan perumahan dan pembangunan keusahawanan belia.
Dewan Undangan Negeri Melaka meluluskan pindaan perlembagaan pada Julai bagi membenarkan pelantikan sehingga tujuh ADUN tidak dipilih, yang mendorong PH menarik diri daripada kerajaan negeri.
Tawfik berkata penjimatan daripada pemansuhan jawatan itu tidak begitu ketara berbanding keseluruhan belanjawan Melaka, lagipun tidak wajib mengisi kesemua tujuh kerusi tersebut. Beliau turut menegaskan senator juga dilantik di peringkat persekutuan.
"Jika PH percaya wakil dilantik tidak banyak gunanya, ia patut berusaha memansuhkan pelantikan senator," katanya. Beliau turut mencadangkan kriteria pelantikan ADUN diperketat oleh sebuah jawatankuasa dwipartisan.
Secara berasingan, pakar perlembagaan Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata isu itu boleh dilihat dari dua sudut, iaitu kepentingan politik dan penggunaan dana awam secara berhemat.
Felo Majlis Profesor Negara itu berkata, dari sudut politik, ADUN dilantik boleh membantu menambah majoriti kerajaan negeri kerana mereka boleh mengundi dalam rang undang-undang. Beliau bersetuju pelantikan teknokrat, wakil NGO dan golongan minoriti seperti Orang Asli sebagai ADUN adalah amalan baik yang memperkukuh semak dan imbang.
"Persoalannya, adakah wakil rakyat sedia ada tidak mampu mewakili golongan minoriti dan profesional dengan berkesan? Jika tidak berkesan, mungkin ada keperluan untuk melantik ADUN. Tetapi jika wakil sedia ada berkesan, ADUN dilantik tidak bermakna dan membazirkan dana awam," katanya.
Foto: Bjørn Christian Tørrissen / Wikimedia Commons (CC BY-SA 3.0)




