Kedah beri bantuan khas RM3,000 kepada penjawat awam negeri, dibayar tiga kali

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM3,000 kepada 5,031 anggota pentadbiran dan penjawat awam negeri sebagai penghargaan atas jasa dan sumbangan mereka.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata bantuan itu melibatkan peruntukan keseluruhan kira-kira RM15 juta.
"Sukacita diumumkan Kerajaan Negeri meluluskan Bantuan Khas Kewangan RM3,000 yang akan dibayar kepada semua anggota pentadbiran negeri dan penjawat awam negeri," katanya ketika membentangkan Bajet Kedah 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Ahad.
Menurut beliau, bayaran akan dibuat tiga kali, iaitu pada Disember 2026 sebagai persiapan persekolahan, Februari 2027 sempena Aidilfitri dan Ogos 2027 pada bulan Kemerdekaan.
Muhammad Sanusi turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan Ahli Dewan Undangan Negeri atas sokongan, pandangan dan komitmen dalam memastikan tadbir urus yang telus dan berintegriti serta menyelesaikan masalah rakyat di peringkat akar umbi.
Penghargaan juga ditujukan kepada seluruh jentera penjawat awam negeri dan persekutuan yang berkhidmat di Kedah.
"Gerak kerja cemerlang tuan-tuan dan puan-puan di lapangan, bermula daripada kumpulan sokongan sehinggalah ke peringkat pengurusan tertinggi, adalah nadi kepada pelaksanaan setiap inisiatif dan program pembangunan negeri," katanya.
Foto: Malayan Law / Wikimedia Commons (CC BY-SA 4.0)




