Kemalangan maut van polis berpunca tayar pecah – Ketua Polis Perak

PERAK: Kemalangan yang meragut nyawa seorang anggota polis berpunca daripada tayar belakang kiri van yang pecah secara tiba-tiba, kata Ketua Polis Perak, Alwi Zainal Abidin.
Beliau berkata, van jenis Maxus itu dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak ke Melaka apabila tayarnya pecah di Km352 lebuh raya arah selatan pada 11.35 pagi.
"Ini menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum kenderaan itu merempuh pembahagi jalan besi di tengah lebuh raya. Beberapa penumpang tercampak keluar dan seorang disahkan maut di tempat kejadian," katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Shahrul Alif Yaacob, 26, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah.
Alwi berkata, empat anggota polis cedera parah dan dihantar ke Hospital Slim River, manakala enam lagi menerima rawatan di Hospital Tapah kerana kecederaan ringan.
Rakaman video kemalangan yang tular menunjukkan van itu berada di bahu jalan sebelah kiri, manakala sebatang tubuh terbaring berhampiran pembahagi jalan.




