Kematian pelajar Tingkatan Tiga di Kuala Kangsar: KPM lepas tugas sementara pentadbir dan guru

KUALA KANGSAR: Kementerian Pendidikan (KPM) melepaskan sementara beberapa pentadbir dan guru sebuah sekolah berasrama di sini daripada tugas susulan kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga semalam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata kementerian turut menyerahkan rakaman CCTV sekolah itu kepada polis bagi memudahkan siasatan.
Menurut beliau dalam satu hantaran di Facebook, pelajar yang tidak menduduki peperiksaan dibenarkan pulang pada Jumaat (20 November) bagi menjaga kesejahteraan warga sekolah. Sokongan psikososial juga disediakan kepada mereka yang terjejas.
"Saya ingin menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi terhadap sebarang kecuaian atau pelanggaran prosedur keselamatan sekiranya ia dibuktikan melalui dapatan siasatan," katanya.
Fadhlina turut menyeru orang ramai tidak membuat spekulasi, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menyempurnakan siasatan dan menghormati privasi keluarga mangsa.
Menurut laporan media, pelajar itu ditemui meninggal dunia dalam kawasan sekolah semalam. Bagaimanapun, butiran keadaan kejadian masih belum jelas dan polis belum mengeluarkan kenyataan rasmi.
Bedah siasat dijadualkan pada 9 pagi hari ini, menurut Fadhlina.
Kejadian itu turut menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang merupakan bekas pelajar sebuah sekolah di Kuala Kangsar.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan "menyeluruh, telus dan segera bagi menentukan punca sebenar kejadian".
"Tiada aspek yang harus diabaikan bagi memastikan keadilan ditegakkan dan insiden sebegini dapat dicegah daripada berulang," tegasnya.
Foto: CEphoto, Uwe Aranas / Wikimedia Commons (CC BY-SA 3.0)




