Kerja turap tidak berkualiti antara punca jalan persekutuan sering rosak – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Kerja menurap semula yang kurang berkualiti oleh kontraktor dan syarikat utiliti dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyebabkan jalan persekutuan kerap rosak, sehingga memerlukan kerja tampalan berulang kali.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata faktor lain termasuk kenderaan berat yang melebihi had muatan dibenarkan, keadaan saluran perparitan, cuaca dan usia jalan.
Beliau berkata RM10.6 bilion dibelanjakan untuk penyelenggaraan dan pembaikan jalan persekutuan di seluruh negara dari 2021 hingga 2025, meliputi penyelenggaraan berkala dan rutin permukaan jalan serta kerja berkaitan bagi memastikan jalan selamat dan selesa digunakan.
Menurut Ahmad, jalan persekutuan diselenggara mengikut garis panduan sedia ada, termasuk arahan kejuruteraan jalan, spesifikasi standard jalan dan nota teknikal jalan, bagi memastikan kualiti kerja menurap serta memanjangkan hayat jalan.
"Mekanisme yang digunakan dalam kerja penyelenggaraan dan pembaikan ditentukan oleh jenis dan tahap kerosakan jalan, jumlah trafik kenderaan berat, hierarki jalan, kadar kemalangan dan kitaran hayat jalan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) mengenai peruntukan yang dibelanjakan dalam tempoh lima tahun lalu bagi membaiki kerosakan berulang jalan persekutuan, termasuk kes jalan yang sama ditampal berkali-kali, serta punca utama kerosakan.
Dalam pada itu, Ahmad berkata cadangan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) sepanjang 122 kilometer dari Kampung Gemuruh, Terengganu ke Tunjung, Kelantan, masih di peringkat penyediaan dokumen permintaan cadangan (RFP) oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.
Projek itu dicadangkan dilaksana melalui penswastaan menerusi model kerjasama awam-swasta (PPP), dengan pembida yang berjaya menanggung kos pembangunan sepenuhnya.
"Kementerian Kerja Raya telah menyerahkan penyata keperluan projek kepada UKAS JPM untuk penyediaan dokumen RFP, selepas itu cadangan akan dikemukakan kepada Kabinet untuk pertimbangan dan keputusan," katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai status terkini cadangan pembinaan LPT3 melalui penswastaan secara PPP.
Foto: DelawareMatt / Wikimedia Commons (CC BY-SA 4.0)




