Lebih 96,000 warga asing ditahan kerana jenayah sejak 2024 – IGP

KUALA LUMPUR: Seramai 96,844 warga asing ditahan kerana pelbagai kesalahan jenayah sejak 2024, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail.
Beliau berkata polis akan memastikan penguatkuasaan yang lebih tegas dan berterusan bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.
"Kami akan mengambil tindakan tegas jika mana-mana warga asing di negara ini melanggar undang-undang atau terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut statistik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), seramai 33,136 warga asing ditahan pada 2024. Angka itu meningkat kepada 36,740 tangkapan pada 2025, iaitu kenaikan sebanyak 3,604 tangkapan atau 10.9 peratus.
Beliau berkata, sepanjang Januari hingga September tahun ini, polis merekodkan 26,968 lagi tangkapan membabitkan warga asing.
Mohd Khalid turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara tegas dan berterusan terhadap sesiapa sahaja, termasuk rakyat Malaysia, yang terlibat dalam jenayah.
"Kita akan menegakkan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang, iaitu setiap individu, tanpa mengira status, kedudukan atau kewarganegaraan, tertakluk kepada undang-undang negara. Sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang tidak akan dikompromi dan akan ditangani melalui tindakan penguatkuasaan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.
Polis akan mengukuhkan kerjasama dengan agensi kerajaan lain melalui operasi bersepadu, perkongsian risikan serta langkah penguatkuasaan yang lebih berkesan.
Mohd Khalid turut menyeru orang ramai terus memainkan peranan sebagai rakan strategik polis dengan menyalurkan maklumat mengenai aktiviti jenayah kepada pihak berkuasa.
Beliau berkata kerjasama dan kewaspadaan orang ramai amat penting dalam menyokong usaha pencegahan jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.




