Lelaki direman tujuh hari bantu siasatan kematian ibu dipercayai dicekik di Banting

SHAH ALAM: Seorang lelaki yang disyaki mencekik ibunya hingga mati di sebuah rumah di Banting, Kuala Langat, Jumaat lalu direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Mohd Akmalrizal Radzi, mengesahkan melalui mesej ringkas WhatsApp bahawa perintah reman telah dikeluarkan terhadap suspek berusia 20-an itu, berkuat kuasa sehingga Jumaat depan, 20 November.
Beliau berkata suspek disahkan positif dadah jenis metamfetamina, manakala siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian masih diteruskan.
Laporan media sebelum ini menyatakan lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung kematian ibunya yang berusia 50-an dan dipercayai dicekik di sebuah rumah di Banting.
Mohd Akmalrizal berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada kira-kira jam 1 tengah hari.




