Lelaki Orang Asli diterkam harimau hingga maut di Sungai Siput

IPOH: Seorang lelaki Orang Asli maut diterkam harimau di hutan Lata Serai, Kampung Bawong, Sungai Siput pada Rabu.
Mangsa, Ngah Itam, 65, bapa kepada lima anak, dipercayai sedang mencari buluh ketika diserang haiwan itu pada 18 November.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun, mengesahkan kejadian itu menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa dan menggesa langkah segera diambil bagi memastikan keselamatan orang ramai.
"Penduduk Kampung Bawong dan yang tinggal berhampiran diminta berwaspada dan menjauhi kawasan berkenaan. Orang ramai juga diminta mematuhi arahan pihak berkuasa," katanya.
Pada September lalu, seorang lelaki Orang Asli, Zamberi Angah, 42, turut maut diterkam harimau berhampiran Kampung Takung, Pos Perwor, Sungai Siput.
Foto: Bernard DUPONT from FRANCE / Wikimedia Commons (CC BY-SA 2.0)




