Mahfuz gesa Zahid, UMNO-BN berundur secara sukarela jika tidak sehaluan dengan Kerajaan Madani

SHAH ALAM: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan UMNO-Barisan Nasional (BN) digesa berundur secara sukarela daripada Kerajaan Madani sekiranya tidak lagi sehaluan dengan kerajaan itu.
Gesaan itu dibuat Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar, yang mempersoalkan pendirian Ahmad Zahid dan UMNO-BN kerana masih mahu kekal dalam kerajaan, sedangkan pada masa sama bekerjasama dengan Pas dan Perikatan Nasional (PN) untuk menentang Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, Ahmad Zahid sebelum ini begitu lantang mendesak Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, meletakkan jawatan sebagai menteri.
"Tetapi sebelum sibuk menuntut orang lain menunaikan janji politik, Zahid perlu terlebih dahulu menjawab satu persoalan yang jauh lebih besar: Bilakah Zahid dan UMNO-BN mahu menunaikan tanggungjawab politik mereka sendiri?" katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Mahfuz berkata, Loke telah menunaikan janji politiknya dan kini tiba giliran Zahid dan UMNO-BN membuktikan bahawa mereka masih mempunyai prinsip, pendirian dan tanggungjawab terhadap Kerajaan Madani yang mereka sertai.
Beliau berpandangan UMNO-BN tidak boleh terus menikmati kuasa dan kedudukan dalam kerajaan Persekutuan, tetapi pada masa sama berpakat dengan pihak pembangkang yang mahu menjatuhkan kerajaan berkenaan.
Menurutnya, keadaan itu bukan sekadar soal perbezaan pendapat atau kebebasan bersuara dalam kerajaan, sebaliknya soal konsistensi dan kejujuran politik.
"Jangan mahu menjadi kerajaan di Putrajaya, tetapi menjadi pembangkang apabila berhadapan dengan PH di medan pilihan raya," katanya.
Mahfuz turut mempersoalkan sama ada UMNO-BN mahu terus menikmati kuasa kerajaan sambil membantu pihak pembangkang melemahkan dan menjatuhkan pentadbiran sendiri.
"Saya tidak meminta Perdana Menteri memecat UMNO-BN. Sebaliknya, jika UMNO-BN merasakan mereka tidak lagi sehaluan dengan Kerajaan Madani dan lebih selesa bersama Pas serta PN, mereka harus berundur secara sukarela dan bermaruah," katanya.
"Jangan tunggu dipecat kemudian berlakon menjadi mangsa. Jangan bakar rumah dari dalam, kemudian menyalahkan tuan rumah apabila rumah itu terbakar," tegasnya.
Beliau mengingatkan bahawa politik bukan sekadar soal memegang jawatan dan menikmati kuasa, sebaliknya turut menuntut prinsip, kesetiaan serta keberanian memikul akibat daripada keputusan sendiri.
Foto: TvPRU13 / Wikimedia Commons (CC BY 3.0)




