Rabu, 25 November 2026
TERKINI
MCA persoal kesediaan sekolah terima murid enam tahun, bimbang tekanan sistem pendidikanKLK catat kerugian bersih RM118.4 juta bagi FY26 selepas peruntukan rosot nilai RM1.61 bilionBas Kementerian Kesihatan terbakar berhampiran R&R Senawang, 14 penumpang selamatHarga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi turun 25 sen seliter mulai 26 NovemberUntung bersih TM suku ketiga susut 28 peratus kepada RM494 jutaTiada rancangan bubar DUN Pahang, kata Wan RosdyLebih 200,000 pelarian masih di Malaysia, Syed Saddiq persoal 'transit sampai bila?'Amir Hamzah dilapor pertimbang sertai Maybank selepas tamat tempoh senatorPenduduk Pulau Pinang diminta bersiaga, air pasang besar dijangka cecah 2.71 meterPunca kematian Patrick Stewart didedahkan, sijil kematian sebut gangguan neurokognitif Lewy body

Malaysia anggar simpan 16.1 juta tan metrik sumber nadir bumi, terbesar di Terengganu dan Kelantan

KUALA LUMPUR: Malaysia dianggar memiliki 16.1 juta tan metrik sumber unsur nadir bumi (REE), dengan deposit terbesar dikenal pasti di Terengganu, Kelantan, Perak, Pahang dan Kedah, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata angka itu berdasarkan tinjauan awal Jabatan Mineral dan Geosains.

"Bagaimanapun, angka ini mewakili anggaran sumber tersimpul, bukan rizab mineral yang disahkan boleh dilombong secara komersial," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Arthur menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) dan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai perkembangan industri REE negara.

Menurut beliau, jabatan itu telah menjalankan kajian eksplorasi susulan ke atas sumber REE jenis tanah liat jerapan ion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dengan peruntukan RM1.89 juta. Kajian itu mengenal pasti kira-kira 274,887 tan metrik sumber terukur setakat 2025.

Eksplorasi diteruskan di bawah fasa kedua Projek Penilaian Potensi Sumber REE dari 2026 hingga 2030 dengan peruntukan RM38.49 juta, meliputi kawasan seluas 160 kilometer persegi di 10 negeri.

Bagi 2026, RM9 juta diperuntukkan untuk menilai kawasan 30 kilometer persegi di enam negeri. "Setakat Oktober tahun ini, kawasan sasaran telah diliputi sepenuhnya," katanya.

Mengenai kaedah perlombongan, Arthur berkata projek di Mukim Kenering, Perak, menggunakan kaedah larut lesap in-situ (ISL) yang mengekstrak REE tanpa penggalian tanah secara besar-besaran. Pemantauan dan penguatkuasaan di tapak itu tertumpu kepada penggunaan bahan kimia, kualiti air permukaan dan air bawah tanah, pelepasan efluen serta pengurusan sisa perlombongan.

Kerajaan, katanya, kekal dengan pendirian tidak membenarkan perlombongan REE di hutan simpan kekal, kawasan sensitif alam sekitar dan kawasan perlindungan yang diwartakan. Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pula sedang mengkaji kesan perlombongan REE terhadap ekosistem hutan bagi memperkukuh penilaian risiko alam sekitar dan mekanisme kawal selia.

Dalam usaha membangunkan rantaian nilai hiliran, beliau menyebut kerjasama strategik antara Malaco Mining Sdn Bhd dan Carester SAS dari Perancis untuk membina loji pengasingan REE di Perak dengan kapasiti pemprosesan tahunan dicadangkan sebanyak 13,000 tan metrik.

Beliau turut menyebut kerjasama jangka panjang bernilai RM1 bilion antara Lynas Rare Earths Ltd dan JS Link Inc dari Korea Selatan untuk menubuhkan loji pembuatan magnet kekal di Kuantan, Pahang. Loji itu dirancang menghasilkan 3,000 tan metrik setahun dan boleh mewujudkan sehingga 700 pekerjaan baharu.

"Malaysia tidak boleh sekadar bergantung kepada kekayaan mineralnya, tetapi mesti menguasai teknologi dan membangunkan seluruh rantaian industri bagi memaksimumkan pulangan ekonomi kepada negara dan rakyat," katanya.

Topiknadir bumiArthur Joseph KurupDewan RakyatLynasPerak

Berita berkaitan