Malaysia dapat persetujuan China tingkat kerjasama AI dan pindahan teknologi

MANILA: Malaysia memperoleh persetujuan China untuk mengukuhkan kerjasama kecerdasan buatan (AI), termasuk pindahan teknologi dan peluang latihan tambahan bagi rakyat Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata persetujuan itu sebahagian usaha lebih luas meningkatkan kerjasama AI dan keselamatan siber, yang menjadi tumpuan dalam perbincangan Asean bersama rakan dialog.
"AI dan keselamatan siber antara bidang yang ditekankan dalam semua perbincangan Asean kami, termasuk dengan Australia dan Korea Selatan, di mana kami menegaskan kepentingan meningkatkan kerjasama dalam bidang ini," katanya kepada media Malaysia di sini pada Isnin.
"Dengan China secara khusus, kami telah mendapat persetujuan untuk meningkatkan kerjasama AI, termasuk pindahan teknologi dan latihan tambahan untuk Malaysia dan negara Asean lain," katanya.
Anwar berkata Malaysia turut memberi penekanan khusus supaya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tidak ketinggalan ketika rantau ini mengejar kemajuan teknologi dan integrasi ekonomi lebih erat. Perkara itu dibangkitkan dalam perbincangan dengan China, Korea Selatan dan Australia, khususnya berkaitan AI, tenaga dan perdagangan.
"Jika kita hanya fokus kepada pelaburan besar, kumpulan ini akan ketinggalan," katanya.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean (DEFA) ialah langkah penting ke arah integrasi ekonomi serantau yang lebih erat.
Beliau berkata dua keutamaan di bawah rangka kerja itu ialah memudahkan pembayaran rentas sempadan yang lancar dan menyelaraskan pengisytiharan kastam antara negara anggota Asean.
Menurut Johari, langkah itu akan meningkatkan perdagangan dalam Asean dengan memperbaik sambungan dan memperkemas prosedur perdagangan. Asean menyasarkan kira-kira 180 hari untuk menubuhkan platform bersama bagi negara anggota.
Ditanya sama ada tempoh itu boleh dicapai, Johari berkata ia bergantung kepada komitmen setiap negara anggota. "Jika mereka mahu bergerak pantas, mereka boleh. Jika mahu ambil masa, ia akan lebih lama," katanya.




