Malaysia kekal bebas dalam dasar luar, hubungan dengan AS tidak tentukan hubungan dengan negara lain – Anwar

MANILA: Malaysia akan kekal bebas dalam dasar luarnya dan tidak akan membenarkan hubungan perdagangan serta pelaburan dengan Amerika Syarikat (AS) menentukan hubungannya dengan negara lain, termasuk China, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, Malaysia menghargai hubungan ekonomi dengan Washington, tetapi ikatan itu tidak boleh menjejaskan hak negara untuk menjalankan dasar luar yang bebas.
"Saya telah memberi jaminan. AS kebetulan rakan dagang dan sumber pelaburan nombor satu Malaysia, tetapi itu tidak boleh menghalang keputusan kami untuk bertindak secara bebas dan berhubung dengan negara lain, termasuk China," katanya pada majlis makan malam sempena lawatan kerja beliau ke Filipina di kedutaan Malaysia di sini, Ahad (15 November).
Anwar berkata, beliau baru-baru ini berbual dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, mengenai dasar Malaysia berkaitan penggunaan pusat data, cip semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI). Menurutnya, perbincangan itu tertumpu kepada memastikan teknologi berkenaan tidak digunakan untuk memberi manfaat kepada pihak lain, namun beliau tidak menjelaskan kebimbangan tertentu yang dibangkitkan Washington.
Beliau berkata, jaminan telah diberikan kepada Rubio, tetapi kerjasama ekonomi dengan AS mesti berjalan dalam kerangka dasar nasional. "Jika syarat mereka ialah pelaburan dari Amerika tidak menjejaskan kepentingannya, itu adil. Anda pelabur, anda boleh memutuskan apa yang hendak dilakukan, tetapi ia mesti melalui kerangka kami, dasar nasional kami dan perlindungan kepentingan kami sebagai sebuah negara," katanya.
Menurut Perdana Menteri, pendekatan itu selaras dengan prinsip pemusatan Asean yang menekankan kepentingan mengekalkan hubungan dengan kuasa-kuasa besar di tengah ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat.
Beliau berkata, kehadiran Perdana Menteri China, Li Qiang, dan Presiden AS, Donald Trump, pada mesyuarat Asean menunjukkan betapa pentingnya keupayaan rantau ini mengekalkan hubungan dengan kuasa yang bersaing. "Kita perlu menentukan haluan rantau ini dalam tempoh yang agak bergolak dengan ketidaktentuan geopolitik," katanya.
Anwar menambah, negara kecil dan kumpulan serantau perlu berhati-hati mengemudi ketidaktentuan itu, terutama apabila tiada jaminan sokongan daripada semua pihak.
Dalam isu dalam negeri pula, Anwar berkata, usaha menarik pelaburan asing dan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi mesti seiring dengan tadbir urus yang baik serta usaha memerangi rasuah. "Tiada gunanya mendapat lebih banyak pelaburan dan projek, pada masa sama ada orang yang melarikan diri," katanya.
Beliau menegaskan tekad untuk memastikan Malaysia dikenali bukan sahaja kerana ekonominya yang rancak, malah pendirian tegas menentang salah guna kuasa dan rasuah berleluasa yang menurutnya menyusahkan rakyat biasa.




