Malaysia pergiat teroka teknologi kuantum dan perubatan regeneratif – Anwar

KUALA LUMPUR: Malaysia mempergiat langkah meneroka bidang teknologi masa hadapan, termasuk pembangunan teknologi kuantum dan fasiliti perubatan regeneratif, bagi memperkukuh ketahanan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan kewangan dan gangguan rantaian bekalan global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pemerkasaan ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI) menjadi agenda utama Mesyuarat Majlis Sains Negara (MSN) Bilangan 2 Tahun 2026 yang dipengerusikannya hari ini.
“Perancangan strategik ini penting dalam memastikan keupayaan STI negara dimanfaatkan bagi menghasilkan penyelesaian terhadap cabaran ekonomi, termasuk ketidaktentuan kewangan dan gangguan rantaian bekalan global,” katanya menerusi hantaran di X.
Antara perkara yang dibincangkan ialah usaha memperkukuh kedudukan Malaysia dalam Indeks Inovasi Global (GII) melalui penjajaran indikator STI, serta hala tuju pembangunan teknologi kuantum negara.
Mesyuarat itu turut membincangkan pembangunan fasiliti Biofoundry Perubatan Regeneratif Nasional menerusi kerjasama Bioeconomy Development Corporation (BEC) dan BioVerde Technologies Sdn Bhd (BVT) Sarawak.
“Saya mahu setiap inisiatif ini diberikan perhatian dan dipantau secara berterusan bagi memastikan pelaksanaannya mengikut garis masa yang ditetapkan sekali gus membawa manfaat nyata kepada rakyat dan negara,” katanya.
MSN berfungsi sebagai platform tertinggi peringkat nasional dalam menyelaras hala tuju dasar STI merentas kementerian dan agensi, sejajar dengan aspirasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
Foto: Firdaus Latif / Wikimedia Commons (CC BY-SA 2.0)




