Malaysia perlu tingkat kewaspadaan terhadap penggodam dikaitkan negara – MCCA

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu meningkatkan kewaspadaan terhadap kumpulan penggodam yang dipercayai dikaitkan dengan negara tertentu, kata MCCA.
Siraj dari MCCA berkata, kumpulan yang tersusun ini didakwa disokong atau dibiayai entiti tertentu untuk melancarkan serangan siber berskala besar terhadap organisasi dan negara lain.
Antaranya ialah Lazarus Group yang dikaitkan dengan Korea Utara dan dipercayai terlibat dalam beberapa insiden penggodaman antarabangsa, termasuk serangan terhadap sektor kewangan dan platform pertukaran mata wang kripto.
Beliau berkata, kumpulan Ancaman Berterusan Termaju (APT) yang dikaitkan dengan Rusia dan beberapa negara lain juga mampu menyusup sistem secara senyap untuk tempoh yang lama bagi mencuri maklumat atau mengganggu operasi penting.
Mengulas langkah Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) menaikkan tahap ancaman keselamatan siber negara daripada rendah kepada sederhana, beliau berkata tindakan itu mencerminkan pendekatan proaktif kerajaan memperkukuh perlindungan infrastruktur digital.
Menurutnya, Malaysia mempunyai asas keselamatan siber yang semakin kukuh hasil kerjasama komuniti keselamatan siber, industri dan kerajaan, dengan sokongan pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024.
"Keselamatan siber Malaysia berada pada tahap yang membanggakan dan semua pihak, termasuk komuniti keselamatan siber, industri serta kerajaan, sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan terhadap ancaman semasa," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, kenaikan tahap ancaman itu ialah langkah berjaga-jaga bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan, tanpa menimbulkan kepanikan orang ramai sekiranya berlaku pencerobohan atau gangguan terhadap perkhidmatan kritikal.
"Kita mesti bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kerana ancaman boleh datang daripada individu, kumpulan tertentu atau negara yang menggunakan pihak ketiga dan kumpulan yang disokong negara," katanya.
Siraj menambah, serangan siber ini sering tidak menunjukkan penglibatan langsung sesebuah negara kerana biasanya menggunakan kumpulan tanpa nama untuk menyerang negara lain. Serangan siber juga kini menjadi sebahagian daripada konflik geopolitik apabila pihak yang berperang memanfaatkan ruang siber untuk menyasarkan infrastruktur dan sistem musuh.
Beliau berkata, pertahanan digital negara digerakkan secara aktif melalui usaha selaras Nacsa bersama CyberSecurity Malaysia, polis, angkatan tentera dan jabatan perlindungan data peribadi.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia berpotensi menjadi sasaran serangan siber kerana kekuatan infrastruktur digital dan pusat datanya, selain pendirian tegas kerajaan terhadap beberapa isu antarabangsa, khususnya Palestin dan Gaza.




