Rabu, 25 November 2026
TERKINI
MCA persoal kesediaan sekolah terima murid enam tahun, bimbang tekanan sistem pendidikanKLK catat kerugian bersih RM118.4 juta bagi FY26 selepas peruntukan rosot nilai RM1.61 bilionBas Kementerian Kesihatan terbakar berhampiran R&R Senawang, 14 penumpang selamatHarga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi turun 25 sen seliter mulai 26 NovemberUntung bersih TM suku ketiga susut 28 peratus kepada RM494 jutaTiada rancangan bubar DUN Pahang, kata Wan RosdyLebih 200,000 pelarian masih di Malaysia, Syed Saddiq persoal 'transit sampai bila?'Amir Hamzah dilapor pertimbang sertai Maybank selepas tamat tempoh senatorPenduduk Pulau Pinang diminta bersiaga, air pasang besar dijangka cecah 2.71 meterPunca kematian Patrick Stewart didedahkan, sijil kematian sebut gangguan neurokognitif Lewy body

Malaysia perlukan 111 tahun selesaikan isu 225,000 pelarian – Mohd Radzi

KUALA LUMPUR: Malaysia dianggarkan memerlukan sehingga 111 tahun untuk menyelesaikan isu lebih 225,000 pelarian di negara ini jika kadar penghantaran mereka ke negara ketiga kekal seperti sekarang, kata Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata hanya 974 pelarian dihantar ke negara ketiga bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keupayaan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menyelesaikan isu itu.

"Kalau kita ada 225,000 orang pelarian, separuh tahun hantar 974, katakanlah setahun hantar 2,000 orang, kita perlukan 111 tahun nak hantar mereka balik. Ini tak masuk akal," katanya pada sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Khamis.

Mohd Radzi, yang juga bekas Menteri Pendidikan, berkata UNHCR perlu bertanggungjawab mencari penyelesaian segera, terutamanya dengan mempercepatkan penghantaran pelarian ke negara ketiga dan tidak meletakkan beban pengurusan sepenuhnya kepada Malaysia.

Menurutnya, penghantaran ke negara ketiga bukan satu-satunya pilihan kerana kerajaan juga boleh menggunakan saluran diplomasi untuk menghantar pulang pelarian ke negara asal.

"Kita tidak perlu takut dengan tekanan dunia kalau nak hantar balik ke negara asal. Dunia yang menekan kita ini, sepatutnya mengambil mereka yang kita nak hantar balik ini. Apa nak takut? Ini kedaulatan negara," katanya.

Beliau berkata Malaysia perlu memanfaatkan platform diplomasi serantau termasuk ASEAN serta saluran antarabangsa untuk mencari penyelesaian menyeluruh. Beliau mengambil contoh pengurusan pelarian Vietnam suatu ketika dahulu, apabila sebahagian ditempatkan di negara ketiga manakala yang lain dihantar pulang ke negara asal melalui rundingan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Radzi menggesa kerajaan memantau pelaksanaan keputusan UNHCR menghentikan pendaftaran pelarian baharu dan mendapatkan akses kepada pangkalan data agensi itu.

Menurutnya, akses itu penting bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti bilangan sebenar pelarian yang sudah didaftarkan serta memastikan tiada pertambahan selepas keputusan penghentian pendaftaran diumumkan.

TopikUNHCRPelarianMohd Radzi Md JidinDewan Rakyat

Foto: Anne4321 / Wikimedia Commons (CC BY-SA 4.0)

Berita berkaitan