Mayat keenam mangsa kepala air Sungai Pertak ditemukan, dua lagi masih hilang

HULU SELANGOR: Mayat keenam daripada lapan lelaki yang dihanyutkan arus dalam kejadian kepala air di Sungai Luit, berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak, ditemukan pada Khamis, manakala dua lagi mangsa masih hilang.
Mayat itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berhampiran kawasan Empangan Sungai Selangor kira-kira jam 10.15 pagi, pada hari keempat operasi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata operasi turut ditumpukan di Sektor A selepas pasukan mengesan bau yang dipercayai berpunca daripada mangsa di kawasan itu.
Menurutnya, dua anjing pengesan (K9) digerakkan ke lokasi berkenaan, yang terletak berhampiran kawasan empat mangsa ditemukan pada Selasa lalu.
"Pasukan SAR menjalankan tinjauan di kawasan berkenaan petang semalam selepas menerima maklumat daripada seorang penduduk Orang Asli yang melalui lokasi itu ketika pulang dari kebun," katanya.
"Ketika tinjauan, kita memang mengesan bau secara berselang-seli di kawasan berkenaan, namun tidak dapat menyeberangi sungai kerana paras air masih tinggi, kira-kira dua meter melebihi paras biasa," katanya.
Operasi pada Khamis bermula jam 7 pagi dengan beberapa pasukan digerakkan mengikut sektor. Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM menjalankan pencarian di Sektor A hingga B, iaitu dari Lata Jebus hingga Pos Kawalan Tempat Kejadian di Tapak Berkelah Sungai Pertak.
Anggota JBPM, Pasukan Bomba Sukarela dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pula menumpukan pencarian dari Sektor B hingga C, berhampiran Empangan Sungai Selangor.
Lima bot turut digerakkan bagi memantau keadaan sungai dan membersihkan permukaan air di Sektor C dan D susulan lambakan sampah yang dihanyutkan arus selepas kejadian kepala air kedua petang semalam. Dron JBPM juga digunakan untuk tinjauan udara sejauh kira-kira 3.5 kilometer, meliputi Sektor A hingga D termasuk kawasan empangan.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang Isnin lalu. Seramai 34 individu daripada empat kumpulan terlibat; lapan lelaki dihanyutkan arus manakala 26 lagi berjaya menyelamatkan diri atau diselamatkan anggota bomba.
Seorang mangsa warga tempatan ditemukan pada jam 1.30 pagi Selasa di kawasan Jambatan Pertak, kira-kira 2.7 kilometer dari Lata Jebus. Empat mangsa warga asing ditemukan pada pagi yang sama di kawasan Jambatan Senget dan Jambatan Gantung, kira-kira 950 meter hingga satu kilometer dari Lata Jebus.
Lata Jebus dipercayai lokasi tujuh daripada lapan mangsa dihanyutkan arus, manakala seorang lagi dipercayai dihanyutkan dari kawasan berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak.
Foto: Podstawko / Wikimedia Commons (CC BY-SA 4.0)




