Rabu, 25 November 2026
TERKINI
MCA persoal kesediaan sekolah terima murid enam tahun, bimbang tekanan sistem pendidikanKLK catat kerugian bersih RM118.4 juta bagi FY26 selepas peruntukan rosot nilai RM1.61 bilionBas Kementerian Kesihatan terbakar berhampiran R&R Senawang, 14 penumpang selamatHarga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi turun 25 sen seliter mulai 26 NovemberUntung bersih TM suku ketiga susut 28 peratus kepada RM494 jutaTiada rancangan bubar DUN Pahang, kata Wan RosdyLebih 200,000 pelarian masih di Malaysia, Syed Saddiq persoal 'transit sampai bila?'Amir Hamzah dilapor pertimbang sertai Maybank selepas tamat tempoh senatorPenduduk Pulau Pinang diminta bersiaga, air pasang besar dijangka cecah 2.71 meterPunca kematian Patrick Stewart didedahkan, sijil kematian sebut gangguan neurokognitif Lewy body

MCMC dapatkan maklumat lanjut daripada Anthropic berhubung dakwaan operasi pengaruh politik AI

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meminta maklumat dan penjelasan lanjut daripada syarikat kecerdasan buatan (AI) Anthropic berhubung dakwaan operasi manipulasi pengaruh politik yang disasarkan kepada pengguna di Malaysia.

Kementerian Komunikasi berkata Anthropic mendakwa teknologi AI Claude digunakan oleh sebuah entiti luar negara untuk membangunkan beberapa komponen operasi itu, termasuk sistem penyasaran, akaun media sosial palsu dan laman web berita rekaan.

Anthropic turut mengaitkan operasi berkenaan dengan BBS Bilisim Teknolojileri, sebuah syarikat teknologi yang berpangkalan di Istanbul, Türkiye. Syarikat itu sebelum ini menafikan penglibatan. Anthropic melaporkan akaun Claude yang dikenal pasti telah ditamatkan dan langkah mitigasi dilaksanakan.

“MCMC sedang meminta maklumat dan penjelasan lanjut daripada Anthropic mengenai laporan itu bagi memastikan sebarang penilaian dan tindakan susulan berdasarkan maklumat dan bukti yang mencukupi,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis Parlimen bertarikh 17 November.

Menurut kementerian, tindakan susulan yang sesuai akan ditentukan MCMC dalam bidang kuasanya dan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk kerjasama dengan agensi penguatkuasaan dan keselamatan serta pembekal platform digital jika perlu.

Sebarang tindakan kawal selia atau penguatkuasaan akan dijalankan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 dan undang-undang lain yang terpakai.

Kementerian Digital kini sedang menggubal Rang Undang-Undang Tadbir Urus Kecerdasan Buatan bagi memperkukuh rangka kerja tadbir urus AI negara, termasuk akauntabiliti, pengurusan risiko dan tanggungjawab pihak yang membangun serta menggunakan sistem AI.

Kerajaan akan terus mengukuhkan pemantauan terhadap kemungkinan penyalahgunaan AI dan bekerjasama dengan penyedia teknologi, platform digital serta agensi berkaitan bagi menangani bahaya dalam talian dan memastikan persekitaran digital yang selamat, telus dan dipercayai.

Kementerian menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang bertanya sama ada siasatan MCMC telah mengenal pasti pihak bertanggungjawab dan tindakan terhadap rangkaian akaun palsu serta portal berita rekaan terbabit.

Dalam jawapan bertulis pada 3 November, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata laporan Anthropic bertajuk “Detecting and Countering Misuse of AI: September 2026” mendakwa operasi itu menggunakan data banci sebenar dan jutaan rekod pengundi bagi menyasarkan isu sensitif politik dan sosial di 222 kawasan parlimen.

TopikMCMCAnthropicKecerdasan BuatanDewan Rakyat

Foto: J.Geach/D.Narayanan/R.Crain / Wikimedia Commons (CC BY 4.0)

Berita berkaitan