“Petugas kesihatan adalah aset paling berharga yang berhak untuk mendapat sokongan menyeluruh,” ungkap Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Haji Dzulkefly Ahmad, dalam kenyataan media semalam, 6 Jun 2024.
Tambah beliau lagi, petugas kesihatan berhak menerima sokongan komprehensif daripada semua pihak sambil mengucapkan terima kasih kepada Codeblue yang menyoroti kesulitan yang dihadapi oleh petugas kesihatan, terutamanya kes kelesuan melampau yang melanda hospital-hospital di seluruh Malaysia.
Menurut beliau, permasaalahan ini bukan hanya terjadi di Malaysia tetapi negara-negara di seluruh dunia juga sedang bergelut dengan cabaran penjagaan kesihatan yang teruk. Ini telah diperhatikan dengan jelas pada Perhimpunan Kesihatan Dunia baru-baru ini.
“Kami mengiktiraf sepenuhnya isu yang begitu berat dan memerlukan tindakan segera ini.
“Sekalipun begitu, harus juga diambil maklum bahawa banyak negara lain turut bergelut dengan cabaran getir sepertinya, seperti yang dibincangkan dalam beberapa libat urus pada Persidangan Kesihatan Antarabangsa baru-baru ini,” katanya lagi.
Menurut beliau Dewan Perwakilan Filipina juga pernah mengeluarkan testimoni pada tahun 2023 mengakui bahawa negara tersebut menghadapi kekurangan lebih 114,000 doktor dan 127,000 jururawat.
Jumlah pegawai perubatan kontrak yang sedang berkhidmat dalam sektor kesihatan awam adalah sekitar 30,000 orang pada 2023. Namun begitu, sejak 3 tahun lalu sehingga 2024, kira-kira 3,000 doktor kontrak telah meletak jawatan.
Hal ini menunjukkan, terdapat jumlah yang besar pegawai perubatan kontrak berkhidmat dalam sektor awam, tetapi kadar peletakan jawatan dalam kalangan mereka juga agak tinggi.
“Menangani kekangan ini akan memerlukan pembaharuan kritikal serta strategi pembiayaan untuk membina sistem penjagaan kesihatan yang mampan dan berdaya tahan. Kami kini sedang melaksanakan pembaharuan ini dengan serius,” ujar beliau.
Kerajaan telah mengambil langkah-langkah seperti meningkatkan pelantikan tetap untuk menangani isu ini. Mantan Menteri Kesihatan telah mengumumkan sebanyak 12,800 perjawatan tetap diwujudkan secara berfasa dalam tempoh tiga tahun bagi perlantikan tetap pegawai prubatan kontrak menjelang tahun 2025.
Pada Januari 2024, sebanyak 1,197 calon simpanan pegawai perubatan dan pegawai farmasi telah dilantik ke jawatan tetap oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kerajaan merancang untuk menambah 6,000 lagi pelantikan tetap bagi pegawai perubatan.