Nacsa: Gangguan Microsoft 365 berpunca isu teknikal atau infrastruktur, bukan serangan siber

PETALING JAYA: Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) menyatakan gangguan global perkhidmatan Microsoft 365 berdasarkan maklumat semasa berpunca daripada isu teknikal atau infrastruktur, bukan serangan siber.
Dalam notis di laman Facebooknya, Nacsa berkata Microsoft telah mengesahkan tiada bukti serangan siber setakat ini.
Menurut infografik agensi itu yang merujuk Status Kesihatan Perkhidmatan Microsoft, gangguan tersebut berpunca daripada ketidakseimbangan pengurusan trafik pada infrastruktur syarikat itu.
Gangguan itu dilaporkan bermula sekitar jam 2 pagi waktu Malaysia dan menjejaskan perniagaan serta kerajaan di seluruh dunia. Pengguna tidak dapat mengakses atau melakukan pelbagai tindakan dalam perkhidmatan Microsoft 365, termasuk Outlook, Microsoft 365 Copilot dan Defender XDR.
Nacsa berkata perkhidmatan yang paling terjejas ialah yang bergantung pada e-mel, manakala Teams dan SharePoint telah dipulihkan.
Laman penjejak gangguan Downdetector menerima lebih 200,000 laporan masalah perkhidmatan merentasi produk Microsoft yang terjejas.
Nacsa menasihati semua agensi kerajaan dan entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) menyemak status perkhidmatan yang terkesan, memastikan pemantauan keselamatan siber tidak terganggu, serta mengikuti perkembangan terkini daripada Microsoft. Sebarang gangguan terhadap operasi organisasi perlu dilaporkan melalui saluran yang disediakan.
Sehingga sekitar jam 12.30 tengah hari waktu Malaysia, laman Status Kesihatan Perkhidmatan Microsoft menyenaraikan Microsoft 365 untuk perniagaan, perusahaan dan pengguna individu dalam status “degradasi perkhidmatan” dengan usaha pemulihan masih berjalan.
“Kami terus menjalankan usaha pemulihan untuk memulihkan kesihatan perkhidmatan di seluruh persekitaran yang terjejas. Isu ini memberi kesan kepada Outlook.com, OneDrive, OneNote, Microsoft To Do, Teams dan Microsoft 365 untuk web, walaupun anda mungkin turut menghadapi masalah dalam perkhidmatan Microsoft 365 yang lain,” menurut kemas kini terkini di laman itu.
Foto: Don-vip / Wikimedia Commons (CC BY-SA 4.0)




