PAS sedia beri ruang kepada Umno demi kembali ke Putrajaya, kata penganalisis

KUALA LUMPUR: PAS dilihat bersedia bertolak ansur dengan Umno dalam isu pembahagian kerusi pilihan raya negeri demi merebut semula kuasa di peringkat Persekutuan, menurut penganalisis politik.
James Chin dari Universiti Tasmania berkata PAS, yang menjadi sebahagian pentadbiran kerajaan pada 2020 hingga 2022, sangat berhasrat menjatuhkan kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Justeru, parti itu sanggup memberi ruang kepada Umno daripada menjejaskan kerjasama kedua-dua pihak.
"PAS tiada masalah menampung Umno kerana tahu walaupun mereka menang pilihan raya negeri, jika terbentuk apa yang saya panggil 'tsunami Melayu', PAS tetap mempunyai lebih banyak kerusi (Parlimen)," katanya.
Chin menjelaskan PAS memegang 43 kerusi Dewan Rakyat berbanding 26 milik Umno. Namun katanya, bilangan kerusi tidak semestinya menentukan parti dominan dalam kerajaan.
"Dalam konteks Malaysia, rakan kongsi dominan ialah sesiapa yang memegang jawatan perdana menteri. Bukan bilangan kerusi Parlimen. Jika dikira jumlah kerusi, DAP sepatutnya menjadi parti dominan kerana ia blok terbesar, tetapi hakikatnya tidak begitu," katanya.
Minggu lalu, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata parti itu telah belajar daripada kesilapan dalam rundingan kerusi dengan Umno dan kini mengambil pendekatan lebih pragmatik. Menerusi podcast Keluar Sekejap, beliau berkata pendirian tegar dalam soal kerusi boleh mendorong Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Beliau memberi contoh bagaimana BN kelihatan membuka pilihan dengan berunding bersama Perikatan Nasional (PN) dan PH menjelang pilihan raya negeri Melaka. BN akhirnya bersetuju bekerjasama dengan PN bagi pilihan raya pada 14 November, dengan BN bertanding 23 kerusi manakala PN lima kerusi yang lain.
Penganalisis Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpendapat tolak ansur PAS di Melaka tidak semestinya bermakna parti itu lebih akomodatif terhadap Umno. Katanya, kerusi yang diserahkan kepada BN dan MCA ialah kubu kuat DAP yang sukar dimenangi PN.
"Saya tidak fikir PAS terlalu berkompromi. PAS boleh sahaja menolak. Tetapi saya fikir PAS berpandangan biarlah MCA kalah di dua kerusi ini kerana ia kubu DAP," katanya.
Azmi bersetuju Umno menggunakan kemungkinan bekerjasama dengan PH sebagai daya tawar dalam rundingan dengan PAS, sekali gus membolehkannya menampilkan diri sebagai pihak yang mengawal kerjasama itu.
Bagaimanapun, katanya kuasa tawar-menawar Umno di Melaka mungkin tidak berlaku di negeri lain, termasuk Pahang dan Perak yang kerajaan negerinya dipimpin BN. "Dalam pembahagian kerusi di Pahang atau Perak, saya fikir PAS boleh menentukan syarat kepada BN, bukan sebaliknya, kerana PAS lebih kuat di dua negeri itu," katanya.
Foto: CEphoto, Uwe Aranas / Wikimedia Commons (CC BY-SA 3.0)




