Pegawai pemasaran rugi RM285,204 ditipu panggilan penyamar polis di Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Seorang penolong pegawai pemasaran mendakwa kerugian RM285,204.44 selepas menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Victor Genason, berkata kejadian bermula apabila wanita tempatan berusia 45 tahun itu menerima panggilan suspek pada 5 November.
"Suspek memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis dan memaklumkan mangsa mempunyai rekod jenayah pengubahan wang haram," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, bagi meyakinkan mangsa, panggilan itu dipindahkan kepada seorang lagi individu yang kononnya pegawai lebih kanan, dan mangsa diminta memindahkan wang ke akaun bank yang diberikan suspek.
"Mangsa percaya kata-kata suspek bahawa tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya, lalu membuat empat pemindahan wang ke dua akaun bank berjumlah RM285,204.44," katanya.
Menurut Supt Victor, transaksi itu dibuat dari 5 hingga 7 November, dan mangsa hanya sedar dirinya ditipu apabila tiada tindakan diambil selepas wang dipindahkan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Supt Victor mengingatkan orang ramai supaya berwaspada, terutama dalam urusan kewangan melibatkan individu yang tidak dikenali. Orang ramai boleh menyemak akaun mencurigakan menerusi Semak Mule, menghubungi Pusat Respons Scam Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di 03-2610 1559 atau 03-2610 1599, atau melayari laman Facebook @jsjkpdrm dan @cybercrimealertrmp.
Mangsa penipuan dinasihatkan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997 untuk membuat laporan.
Foto: cogdogblog / Wikimedia Commons (CC BY 2.0)




