Penganalisis: BN perlu beri laluan kepada GRS di beberapa kerusi agar Muafakat Sabah berkesan

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) perlu memberi laluan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di beberapa kerusi bagi memastikan kerjasama Muafakat Sabah berjalan lancar, kata penganalisis politik.
Pensyarah Universiti Malaysia Sabah, Syahruddin Awang Ahmad, berkata prestasi GRS pada pilihan raya negeri lalu dan sokongan yang semakin meningkat terhadap parti tempatan di Sabah perlu diambil kira dalam rundingan kerusi.
"Memberi laluan kepada GRS wajar dipertimbangkan secara pragmatik di kawasan yang GRS mempunyai kekuatan kerusi negeri," katanya.
Beliau berkata perkara itu semakin penting bagi mengelakkan pertembungan sesama sekutu yang merugikan, terutama dengan kemungkinan kerjasama antara Warisan, Parti Solidariti Tanah Airku dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Syahruddin mengulas seruan Ketua Umno Bahagian Tenom, Raime Unggi, supaya BN dan GRS memperdalam kerjasama di bawah kerangka Muafakat Sabah.
Sebelum ini, Setiausaha Agung GRS, Armizan Mohd Ali, berkata gabungan itu mahu merampas semula 12 kerusi pada PRU16, termasuk enam yang kini dipegang BN, iaitu Libaran, Kalabakan, Pensiangan, Beaufort, Kimanis dan Putatan.
Syahruddin mengakui wujud kebimbangan bahawa cadangan itu mungkin sekadar retorik yang didorong keperluan BN mempertahankan kelangsungan politiknya, lebih-lebih lagi GRS mahukan lebih banyak kerusi Parlimen.
Namun, katanya, Muafakat Sabah boleh menjadi asas rundingan bagi memastikan BN terus menerima sokongan jentera GRS di beberapa kawasan. Keberkesanannya bergantung kepada kesediaan kedua-dua pihak untuk berkompromi.
Beliau menambah, rundingan perlu telus, mengutamakan calon yang berpeluang menang serta mengimbangi kepentingan parti dengan kehendak akar umbi.
Pensyarah Universiti Teknologi Mara, Arvin Tajari, bersetuju GRS wajar diberi laluan di kawasan tertentu, walaupun perkara itu bergantung kepada rundingan antara gabungan.
Beliau berkata cadangan Muafakat Sabah mesti dilihat dalam konteks usaha BN mempertahankan kedudukannya selepas prestasi buruk pada pilihan raya negeri tahun lalu.
BN hanya memenangi enam daripada 45 kerusi yang ditandinginya pada pilihan raya 29 November itu, berbanding 14 kerusi pada 2020, iaitu prestasi terburuknya di negeri itu dalam beberapa dekad. GRS muncul blok terbesar dengan 29 daripada 73 kerusi, diikuti Warisan dengan 25 kerusi.
Arvin menyifatkan kelangsungan BN di Sabah sebagai "bergantung pada seutas benang" dan berkata kerjasama dengan GRS secara tidak langsung memberi ruang bernafas kepada BN untuk mempertahankan beberapa kerusi Parlimen.
"Walaupun BN dilihat mengukuhkan pengaruhnya di Semenanjung melalui pilihan raya negeri, realiti politik di Sabah dilihat berbeza," katanya.
Foto: CEphoto, Uwe Aranas / Wikimedia Commons (CC BY-SA 3.0)




