Peter John Jaban bertanding bebas di Batu Lintang pada PRN Sarawak

KUCHING: Peter John Jaban mengumumkan beliau akan bertanding sebagai calon bebas di kerusi Batu Lintang pada pilihan raya negeri Sarawak.
Menurut beliau, Batu Lintang yang disifatkan sebagai "rumah saya selama bertahun-tahun" telah diabaikan selama beberapa dekad.
"Pembangunan beralih ke tempat lain, rakyat Batu Lintang tidak dilibatkan, infrastruktur mereka semakin usang dan harta mereka tidak meningkat nilai seperti sepatutnya," katanya dalam satu kenyataan.
"Setiap pengundi di setiap kawasan berhak mendapat kesaksamaan, keadilan dan bahagian dalam kemakmuran Sarawak," katanya sambil menambah beliau mempunyai manifesto yang direka khusus untuk kawasan itu.
Peter berharap rekod perjuangannya dalam bidang autonomi, advokasi dan masyarakat sivil akan meyakinkan pengundi memilih wakil yang bersuara untuk mereka tanpa mengira bangsa atau parti.
Beliau mengakui Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah Abang Johari Openg berkemungkinan besar mengekalkan kuasa dengan majoriti besar, tetapi berkata calon bebas tetap diperlukan.
"Walau sebesar mana sokongan kita kepada Abang Johari, ini tidak baik untuk demokrasi," katanya. "Pembangkang tidak berjaya di Sarawak. Tetapi dalam konteks sekarang, wakil bebas yang berfokus kepada isu tempatan dan mengemukakan dasar dari akar umbi akan lebih penting berbanding sebelum ini."
Batu Lintang dijangka menyaksikan pertandingan berbilang penjuru, dengan GPS dan Pakatan Harapan masing-masing mengincar kerusi itu.
Sebelum Dewan Undangan Negeri dibubarkan, Batu Lintang diwakili See Chee How, calon bebas yang menang kerusi itu menggunakan tiket Parti Sarawak Bersatu.
Foto: CEphoto, Uwe Aranas / Wikimedia Commons (CC BY-SA 4.0)




