PH janji teruskan peruntukan wakil rakyat pembangkang jika kembali memerintah Melaka

MELAKA: Pakatan Harapan (PH) komited meneruskan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang sekiranya kembali memerintah Melaka, satu amalan yang dilaksanakan ketika gabungan itu mentadbir negeri ini pada 2018.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, berkata peruntukan itu wajar dikekalkan bagi memastikan semua wakil rakyat yang dipilih mempunyai dana mencukupi untuk menjalankan tugas dan berkhidmat kepada rakyat.
Bekas Ketua Menteri itu berkata PH merupakan kerajaan negeri pertama yang memberikan peruntukan kepada Adun pembangkang apabila mengambil alih pentadbiran pada 2018.
Berdasarkan pengalamannya sebagai wakil rakyat pembangkang, Adly berkata ketiadaan peruntukan menyukarkan wakil rakyat mengurus pusat khidmat dan membantu penduduk.
"Memang sangat mencabar jika anda seorang Adun dan langsung tidak menerima peruntukan. Sekurang-kurangnya mesti ada dana untuk mengendalikan pusat khidmat," katanya kepada pemberita semalam.
Menurutnya, walaupun dana boleh disalurkan melalui pejabat daerah dan agensi kerajaan, peruntukan daripada kerajaan negeri tetap penting bagi membolehkan wakil rakyat pembangkang menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada orang ramai.
Calon PH di Bukit Katil itu turut menggariskan rancangan memperluas inisiatif pendigitalan negeri melalui sistem Smart Melaka yang dicadangkan, membolehkan orang ramai memohon bantuan dan membuat aduan secara dalam talian.
Adly berkata sistem itu akan memastikan pengagihan bantuan dan penyelesaian aduan awam lebih telus serta bebas daripada pengaruh politik.
Sistem tersebut juga membolehkan orang ramai menjejak status aduan, termasuk masalah infrastruktur seperti longkang tersumbat dan pokok tumbang, selain membolehkan kerajaan memantau tindakan susulan.
Adly bertanding dalam pertandingan empat penjuru di Bukit Katil menentang calon Perikatan Nasional, Ridzuan Sarif, calon Bersama, Aliza Che Amran, dan calon bebas, Abu Bakar Sabudin. Beliau menang kerusi itu pada pilihan raya negeri 2021 dengan majoriti 1,057 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 November sebagai hari mengundi, manakala pengundian awal dijadualkan esok.




