Pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri dijangka dibentang sebelum sidang Parlimen berakhir – Ramanan

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) dijangka dibentangkan di Parlimen sebelum sidang semasa berakhir, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan.
Beliau berkata, antara perubahan perundangan yang akan datang ialah pindaan Akta 789 berhubung "Skim Komuter", yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura untuk bekerja setiap hari.
Pindaan kepada Akta Sistem Insurans Pekerjaan juga dijangka dibentangkan sebelum akhir tahun, dengan perubahan yang dicadangkan dijangka memanfaatkan lebih 132,000 pekerja wanita.
"Kerajaan mahu pindaan ini diluluskan sebelum persidangan Parlimen semasa berakhir dan tahun baharu bermula," katanya ketika berucap pada Anugerah Media PERKESO iLindung U 2026 di sebuah hotel di sini pada Rabu.
Menurut Ramanan, kedua-dua inisiatif itu sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh perlindungan sosial dan menjaga kebajikan pekerja.
Mengenai kebajikan petugas media, beliau berkata telah mengarahkan setiausahanya mendapatkan butiran caruman PERKESO bagi dua wartawan New Straits Times dan Bernama yang terlibat dalam kemalangan pada 25 Oktober, dan mengarahkan supaya faedah PERKESO mereka dipercepat.
"Perlindungan sosial mesti sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan," katanya.
Ramanan turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas media atas sumbangan menyampaikan maklumat tepat kepada orang ramai. "Kami ahli politik datang berucap, minum kopi, kemudian pulang. Tetapi wartawan perlu menilai apa yang dikatakan, memastikan fakta tepat dan memikirkan cara terbaik menyampaikannya. Ia tugas yang sangat penting dan besar," katanya.
Majlis itu turut dihadiri Pengerusi PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal.




