PKR terbuka parti Harapan guna logo sendiri pada PRU16

PADANG RENGAS: Ketua Pemuda PKR, Kamil Abdul Munim, tidak menolak kemungkinan parti komponen Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), dan berkata cadangan itu wajar dipertimbangkan oleh pucuk kepimpinan gabungan.
Cadangan itu menyaran parti komponen PH, termasuk PKR, DAP dan Amanah, bertanding menggunakan logo sendiri dan bukannya logo gabungan.
"Saya tidak menafikan ada merit pada cadangan ini dan pertimbangan khusus perlu diambil kira ketika menilai semula strategi dan pendekatan kita," katanya.
Beliau berkata perkara itu perlu diteliti dengan teliti oleh pucuk pimpinan kerana memenangi pilihan raya bukan sekadar bergantung pada logo, tetapi turut merangkumi strategi politik, penyampaian perkhidmatan, pendekatan kepada rakyat dan calon yang dipilih.
Kamil berkata demikian kepada pemberita selepas Hari Bertemu Komuniti dan program penyerahan bantuan pengajian di pejabat Pusat Komuniti Rakyat Padang Rengas hari ini.
Menurut beliau, PKR pernah menggunakan logo sendiri dalam pilihan raya sebelum PH didaftarkan secara rasmi sebagai gabungan dan parti komponennya mula bertanding di bawah satu panji.
Katanya, sejarah hampir 30 tahun parti itu menunjukkan penggunaan logo sendiri tidak pernah mengelirukan pengundi.
"Logo PKR mencipta sejarah apabila membantu PH memenangi Pilihan Raya Umum 2018," tambahnya.




