PN akan teliti aduan salah laku terhadap Bersatu selepas PRN Melaka

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) akan meneliti dan mengambil tindakan terhadap aduan salah laku dan disiplin yang membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selesai.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mengesahkan gabungan itu menerima aduan daripada parti komponen yang mengandungi dakwaan pelanggaran disiplin oleh parti berkenaan.
Beliau berkata semua aduan akan dibentangkan secara rasmi kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PN untuk dibincangkan dan diambil tindakan menurut prosedur gabungan.
“Kami telah menerima aduan daripada parti komponen, khususnya berkaitan pelbagai isu disiplin yang dikategorikan sebagai salah laku parti. Apabila aduan sebegini dibangkitkan, ia sudah tentu akan dibincangkan dalam majlis. Kami akan menunggu sehingga PRN selesai sebelum memutuskan langkah seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Gerakan PN bagi DUN N19 Kesidang di Malim Jaya pada Ahad.
Ahmad Samsuri berkata pimpinan gabungan akan bertindak berdasarkan aduan yang berfakta dan bukan sentimen. Beliau menggesa pihak yang mengadu mengemukakan bukti konkrit, termasuk rakaman audio, video atau dokumen bertulis, bagi membantu pimpinan membuat keputusan yang sewajarnya.




