Polis lumpuhkan 112 sindiket penipuan dalam talian, 932 ditahan dalam Op Magpie

KUALA LUMPUR: Polis melumpuhkan 112 sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi melalui pusat panggilan dan menahan 932 individu dalam operasi serentak di seluruh negara selama 13 hari bulan lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Komisioner Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata sebanyak 153 serbuan dilakukan dalam Op Magpie 01/2026 yang dijalankan dari 19 hingga 31 Oktober. Jumlah itu melebihi sasaran awal 100 serbuan sebanyak 53 peratus.
Katanya pada sidang media di sini hari ini, operasi itu turut melibatkan 650 pemeriksaan proaktif ke atas premis hasil kerjasama JSJK Bukit Aman dan kontinjen polis seluruh negara.
"Daripada 932 individu yang ditahan, 106 rakyat Malaysia manakala 826 lagi warga asing. Seramai 796 lelaki dan 136 wanita ditahan," katanya.
Mengikut kewarganegaraan, warga China mencatat jumlah tertinggi iaitu 538 orang, diikuti warga Vietnam (93), Taiwan (40), Indonesia (36), Jepun (21) dan Pakistan (18). Warga Myanmar dan Filipina masing-masing 14 orang.
Dari segi lokasi, 106 serbuan atau 69.28 peratus dilakukan di kediaman kondominium, 34 di rumah kediaman, lapan di resort atau hotel, dan lima di bangunan pejabat, rumah kedai serta gudang.
Analisis awal turut mengenal pasti 136 rekod modus operandi penipuan. Skim pelaburan tidak wujud dan penipuan cinta masing-masing mencatat 27 kes, diikuti penipuan panggilan telefon (25), perjudian dalam talian (16) dan tawaran pekerjaan palsu (11).
Rusdi berkata sindiket itu juga menyasarkan mangsa merentas sempadan, dengan 130 daripada 144 catatan negara sasaran melibatkan mangsa di luar negara manakala 14 lagi di Malaysia. China mencatat sasaran tertinggi dengan 62 catatan, disusuli Amerika Syarikat (12), Vietnam dan Indonesia masing-masing tujuh, serta Jepun dan Hong Kong masing-masing enam.
Dalam operasi itu, polis merampas 2,058 telefon bimbit, 433 komputer riba atau tablet, 161 komputer atau monitor, 112 penghala atau modem, 40 pasport atau visa dan tujuh kenderaan, selain pelbagai dokumen dan peralatan berkaitan. Wang tunai berjumlah RM102,635 turut dirampas.
Sebanyak 117 kertas siasatan dibuka, 70 daripadanya masih disiasat manakala 45 telah dibawa ke peringkat pendakwaan.
Menurut Rusdi, seramai 809 daripada mereka yang ditahan dikenal pasti sebagai kakitangan perkhidmatan pelanggan atau operator, manakala 70 lagi penyelia atau ketua kumpulan.
Beliau berkata siasatan diteruskan bagi mengenal pasti dalang, penyelaras operasi dan individu yang menguruskan kewangan serta menyediakan kemudahan kepada sindiket itu, termasuk menerusi forensik digital serta pemeriksaan rekod komunikasi dan transaksi kewangan.
Orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya panggilan, mesej atau tawaran pelaburan daripada individu tidak dikenali, dan tidak berkongsi butiran bank, kata laluan, kod OTP atau TAC.
Mereka yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan membuat laporan polis.




