PRN Melaka: SPR sasar 95 peratus keluar mengundi awal

MELAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan kadar keluar mengundi sebanyak 95 peratus apabila proses mengundi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 ditutup hari ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata seramai 6,042 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat jam 11 pagi. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses mengundi awal di SMK Kem Terendak.
Menurut Ramlan, mengundi awal dijalankan di 31 pusat mengundi di seluruh Melaka melalui 50 saluran. "Daripada jumlah itu, 19 pusat akan ditutup pada jam 12 tengah hari, tiga pada jam 2 petang dan baki sembilan pada jam 5 petang," katanya.
Beliau memaklumkan sebanyak 237 kesalahan pilihan raya dilaporkan kepada pasukan pemantau SPR setakat malam Isnin. Kesalahan itu membabitkan aktiviti berkempen, termasuk pemasangan bendera dan bahan kempen.
"Kempen berjalan lancar setakat ini tanpa sebarang kejadian besar dilaporkan," katanya sambil menggesa semua pihak berkempen secara bertanggungjawab dan teratur serta mengelak tindakan yang boleh menimbulkan gangguan.
Seramai 687,697 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRN kali ini. Jumlah itu terdiri daripada 675,166 pemilih biasa, 9,769 anggota tentera bersama pasangan mereka dan 2,762 anggota polis. Hari mengundi bagi pemilih biasa jatuh pada Sabtu, 14 November.
Foto: Sprwiki007 / Wikimedia Commons (CC BY-SA 4.0)




