Remaja perempuan ditembak pemburu yang tersilap sangka kijang di Ranau

RANAU: Seorang remaja perempuan cedera parah selepas ditembak seorang lelaki yang sedang memburu di kawasan Sungai Keliu, Kampung Tinanom, di sini, kerana tersilap menyangka cahaya yang dilihatnya sebagai mata pelanduk.
Ketua Polis Daerah Ranau, Mursalin Mahmud, berkata seorang lelaki berusia 40 tahun yang mempunyai pertalian keluarga dengan mangsa ditahan kira-kira jam 1.30 petang semalam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek berjalan di sepanjang kawasan Sungai Keliu sambil memburu dengan senjata api buatan sendiri.
"Suspek ternampak cahaya yang disangka mata pelanduk lalu melepaskan satu das tembakan. Dia kemudian mendengar jeritan kesakitan dan sedar telah menembak seorang gadis," katanya.
Mursalin berkata sebelum kejadian, mangsa bersama seorang ahli keluarga dan seorang lelaki lain pergi ke kawasan sungai itu untuk menangkap ikan dan mencari katak.
Mangsa mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan, terutamanya leher, dada, bahu, tangan dan lutut kanan. Dia dibawa pulang ke kampung sebelum menerima rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Paginatan.
"Mangsa pada mulanya sedar tetapi sukar bernafas sebelum dihantar ke Hospital Ranau. Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami pelbagai kecederaan yang dipercayai akibat tembakan, termasuk patah pergelangan tangan kiri, dan terpaksa diberi ubat penenang," katanya.
Mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu petang semalam untuk pemeriksaan lanjut dan pembedahan.
Polis percaya suspek membuang senapang buatan sendiri itu ke dalam hutan selepas kejadian dan senjata berkenaan belum ditemui.
Kes disiasat mengikut Seksyen 37 dan 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan polis telah memohon perintah reman terhadap suspek.
Foto: shankar s. from Dubai, united arab emirates / Wikimedia Commons (CC BY 2.0)




