Rabu, 25 November 2026
TERKINI
MCA persoal kesediaan sekolah terima murid enam tahun, bimbang tekanan sistem pendidikanKLK catat kerugian bersih RM118.4 juta bagi FY26 selepas peruntukan rosot nilai RM1.61 bilionBas Kementerian Kesihatan terbakar berhampiran R&R Senawang, 14 penumpang selamatHarga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi turun 25 sen seliter mulai 26 NovemberUntung bersih TM suku ketiga susut 28 peratus kepada RM494 jutaTiada rancangan bubar DUN Pahang, kata Wan RosdyLebih 200,000 pelarian masih di Malaysia, Syed Saddiq persoal 'transit sampai bila?'Amir Hamzah dilapor pertimbang sertai Maybank selepas tamat tempoh senatorPenduduk Pulau Pinang diminta bersiaga, air pasang besar dijangka cecah 2.71 meterPunca kematian Patrick Stewart didedahkan, sijil kematian sebut gangguan neurokognitif Lewy body

Saringan ketat pelajar antarabangsa dikekalkan, pastikan kualiti pengajian tinggi – KPT

KUALA LUMPUR: Kemasukan pelajar antarabangsa ke institusi pengajian tinggi (IPT) negara terus tertakluk kepada proses saringan yang ketat bagi memastikan hanya calon yang layak diterima, kata Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman.

Beliau berkata, penekanan khusus diberikan kepada purata nilai gred kumulatif (CGPA) dan tahap penguasaan bahasa Inggeris sebagai syarat kelayakan utama bagi menjamin kualiti pengajian tinggi negara.

"Kita mahu memastikan piawaian kualiti kekal pada tahap tertinggi dan tidak menerima pelajar sewenang-wenangnya, sehingga akhirnya mereka mewujudkan masalah atau menjadi beban kepada negara," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Education Summit Kuala Lumpur pada Khamis.

Azlinda berkata, semua pelajar asing, termasuk pelajar pascasiswazah, diwajibkan mengikuti kursus Bahasa Melayu selama satu semester apabila mendaftar di universiti tempatan, terutama universiti awam. Langkah itu membolehkan mereka berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan dalam urusan harian selain memupuk kefahaman tentang kepelbagaian budaya masyarakat setempat.

"Menariknya, kebanyakan pelajar antarabangsa ini mencapai keputusan cemerlang dalam subjek berkenaan kerana Bahasa Melayu sebenarnya mudah dipelajari," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Yayasan NAMA sedang giat mencari penyumbang dana untuk menawarkan skim biasiswa penuh dan separa kepada pelajar antarabangsa. Inisiatif pembiayaan itu dapat membantu menampung kos sara hidup pelajar sekali gus menyokong sasaran menarik 500,000 pelajar antarabangsa menjelang 2035 di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPM) 2026-2035, berbanding kira-kira 170,000 orang pada masa ini.

Menurut Azlinda, penempatan pelajar juga diselaraskan dengan bidang kepakaran universiti, antaranya sains marin di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta kecerdasan buatan (AI) di Universiti Sains Malaysia (USM) dan Asia Pacific University (APU).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Novie Tajuddin, berkata Malaysia mencipta sejarah sebagai negara pertama di dunia yang menubuhkan Pusat Ketibaan Pelajar Antarabangsa (ISAC) beroperasi 24 jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memudahkan kemasukan pelajar asing.

"Ini inisiatif unik yang belum pernah dilaksanakan oleh mana-mana negara lain dan menjadi nilai tambah dari segi layanan, sekali gus membezakan Malaysia daripada destinasi pengajian lain," katanya.

Pusat itu, yang diperkenalkan secara rasmi awal tahun ini, beroperasi dalam tiga syif dengan sokongan empat lorong imigresen khusus.

Novie berkata, tumpuan terhadap kebajikan pelajar membolehkan Malaysia naik daripada kedudukan di luar 20 negara teratas dunia ke kumpulan 14 negara terkemuka (Big 14), selain tersenarai antara tiga teratas dunia dari segi kadar pertumbuhan tahunan dan lima tahun bagi pendaftaran pelajar antarabangsa.

Pada 2025, EMGS menerima lebih 95,000 permohonan pelajar antarabangsa, meningkat kira-kira 17 peratus berbanding 2024, menjadikan jumlah pelajar asing di negara ini melebihi 167,000 orang dari lebih 180 negara.

Pada persidangan itu, enam universiti turut menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan EMGS dan Yayasan NAMA bagi menyokong pembiayaan dan kebajikan pelajar asing.

Topikpelajar antarabangsapengajian tinggiEMGSAzlinda AzmanKLIA

Foto: Mahani Mohamad / Wikimedia Commons (CC BY-SA 2.0)

Berita berkaitan