Rabu, 25 November 2026
TERKINI
MCA persoal kesediaan sekolah terima murid enam tahun, bimbang tekanan sistem pendidikanKLK catat kerugian bersih RM118.4 juta bagi FY26 selepas peruntukan rosot nilai RM1.61 bilionBas Kementerian Kesihatan terbakar berhampiran R&R Senawang, 14 penumpang selamatHarga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi turun 25 sen seliter mulai 26 NovemberUntung bersih TM suku ketiga susut 28 peratus kepada RM494 jutaTiada rancangan bubar DUN Pahang, kata Wan RosdyLebih 200,000 pelarian masih di Malaysia, Syed Saddiq persoal 'transit sampai bila?'Amir Hamzah dilapor pertimbang sertai Maybank selepas tamat tempoh senatorPenduduk Pulau Pinang diminta bersiaga, air pasang besar dijangka cecah 2.71 meterPunca kematian Patrick Stewart didedahkan, sijil kematian sebut gangguan neurokognitif Lewy body

Selangor sasar 200,000 rumah mampu milik menjelang 2028, 48,378 unit sudah diserahkan

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor berada di landasan mencapai sasaran 200,000 rumah mampu milik menjelang 2028, dengan 110 projek melibatkan 48,378 unit diserahkan kepada pembeli dari 2018 hingga 31 Oktober 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kebudayaan negeri, Datuk Borhan Aman Shah, berkata skim berkenaan terdiri daripada Rumah Selangorku, Rumah Idaman dan Rumah Harapan Selangor.

Rumah Selangorku menyumbang 94 projek membabitkan 37,325 unit, Rumah Idaman sembilan projek (8,153 unit) dan Rumah Harapan Selangor tujuh projek (2,903 unit).

“Selain itu, 73 projek membabitkan 36,050 rumah mampu milik sedang dalam pembinaan,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata sebanyak 122,804 unit berada pada peringkat perancangan bagi merealisasikan sasaran 200,000 unit, dengan 81,748 unit daripadanya sudah mendapat kebenaran merancang.

Bagi baki 40,356 unit yang belum memperoleh kebenaran merancang, kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan terus mengukuhkan penyelarasan dengan pemaju, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi teknikal bagi menangani kekangan dasar dan teknikal, mempercepat kelulusan pelan serta memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara berperingkat.

Menjawab soalan tambahan Wong Siew Ki (PH-Seri Kembangan) yang menyatakan penduduk tempatan Seri Kembangan tidak berpeluang mendapatkan unit Rumah Selangorku di kawasan mereka, Borhan berkata penduduk boleh menghubungi LPHS jika ada permintaan supaya perkara itu dibawa kepada pemaju untuk pertimbangan lanjut.

Menjawab Datuk Abdul Rashid Asari (PN-Selat Klang) mengenai pemohon yang berdepan senarai menunggu panjang, beliau berkata telah meminta LPHS menyemak borang permohonan. Sebelum ini pemohon hanya boleh memilih satu taman perumahan yang diminati, yang mungkin sudah habis dijual.

Menurutnya, borang itu akan dipinda supaya mempunyai pilihan pertama, kedua dan ketiga, supaya pemohon tidak perlu mengisi borang semula jika pilihan pertama tidak memenuhi keperluan mereka.

TopikSelangorRumah SelangorkuBorhan Aman ShahRumah mampu milik

Foto: JanShu / Wikimedia Commons (CC BY-SA 3.0)

Berita berkaitan