Selangor umum Bantuan Khas Kewangan 'Kita Selangor' bernilai dua bulan gaji untuk penjawat awam

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) 'Kita Selangor' bagi tahun 2026 bersamaan dua bulan gaji atau elaun, dengan bayaran minimum RM1,000 kepada penjawat awam di negeri ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pengumuman itu dibuat ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 pada Jumaat.
Beliau berkata insentif tersebut merupakan tanda penghargaan atas usaha penjawat awam menyampaikan bantuan kepada rakyat, khususnya menerusi pelaksanaan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor.
Menurut beliau, pelaksanaan pakej itu membantu memperkasakan golongan rentan, pelajar sekolah, wanita bekerja, petani dan pesawah dalam menghadapi krisis tenaga global.
"Kerajaan negeri mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) 'Kita Selangor' bagi tahun 2026 sebanyak dua bulan gaji atau elaun dengan bayaran minimum RM1,000," katanya.
Bayaran itu akan diambil daripada peruntukan tahun semasa dan merangkumi emolumen kakitangan kerajaan negeri, termasuk mereka yang gajinya dibayar oleh kerajaan Persekutuan serta guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa). Jumlah implikasi kewangan ialah RM100.31 juta.
Amirudin berkata BKK 'Kita Selangor' dijangka disalurkan selambat-lambatnya pada 21 Disember.




