Seorang penumpang telah meninggal dunia dan beberapa lagi cedera dalam penerbangan Singapore Airlines (SIA) dari London akibat dilanda gelora udara.
Pesawat Boeing 777-300ER yang membawa sejumlah 211 penumpang dan 18 anak kapal telah dilencongkan ke Bangkok dan mendarat pada pukul 3.45 petang waktu tempatan pada hari Selasa.
Pihak berkuasa Thailand juga telah menghantar ambulans dan pasukan kecemasan ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi.
“Singapore Airlines mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan itu.
Syarikat penerbangan itu sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk memberikan bantuan perubatan kepada penumpang yang cedera dan sedang menghantar pasukan ke Bangkok untuk memberikan sebarang bantuan tambahan yang diperlukan.
SIA berkata keutamaan mereka adalah untuk memberikan segala bantuan yang boleh kepada semua penumpang dan anak kapal di atas pesawat itu dan akan memaklumkan segala kemaskini di laman media sosial rasmi mereka.
Tinjauan di laman sosial pula mendapati semakin banyak foto serta video insiden berkenaan dikongsikan. “Tragedi yang sangat mengejutkan,” kata pengguna di laman berkenaan.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Singapura, Chee Hong Tat turut bersedih di atas insiden berkenaan.
“Saya amat berdukacita apabila mengetahui tentang insiden di atas penerbangan Singapore Airlines SQ321 dari London Heathrow ke Singapura,” katanya di laman Facebook beliau.
Chee berkata Kementerian Pengangkutan, Kementerian Luar Singapura, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura dan pegawai-pegawai Lapangan Terbang Changi serta petugas SIA sedang memberikan sokongan kepada penumpang yang terjejas dan keluarga mereka.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia,” katanya lagi.