SPRM serah warga China dikehendaki Beijing kepada kedutaan di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan seorang warga China yang dikehendaki pihak berkuasa negara itu kepada Kedutaan China di sini, hasil kerjasama dengan Suruhanjaya Pengawasan Kebangsaan (NCS) China.
Difahamkan lelaki berusia lingkungan 50-an dan bekerja sendiri itu ditahan kira-kira jam 9 malam pada 17 November ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM.
Menurut sumber, siasatan dimulakan berikutan maklumat yang diterima SPRM mengenai dakwaan suspek menawarkan rasuah kepada pegawai penguat kuasa supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya berhubung kes penipuan dan pengubahan wang haram.
"Semakan lanjut mendapati lelaki itu turut berada dalam senarai dikehendaki NCS, manakala pasportnya telah dibatalkan oleh kerajaan China," kata sumber itu.
Susulan itu, SPRM merujuk perkara tersebut kepada Jabatan Imigresen dan Kedutaan China sebelum menyerahkan lelaki berkenaan kepada kedutaan itu pada Khamis (19 November) untuk tindakan lanjut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan perkara itu apabila dihubungi.
Foto: Chainwit. / Wikimedia Commons (CC BY 4.0)




